Skip to main content

Dunia

Israel serang lapangan terbang utama Yaman di Sanaa

Tentera Israel menyatakan ia menyerang lapangan terbang utama Yaman pada Selasa (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Israel serang lapangan terbang utama Yaman di Sanaa

Asap naik berkepul-kepul di bandar Sanaa pada 6 Mei menyusuli serangan udara Israel. (Gambar: Reuters)

ADEN, Yaman: Tentera Israel menyatakan ia menyerang lapangan terbang utama Yaman pada Selasa (6 Mei).

Para saksi berkata terdapat empat serangan berlaku terhadap ibu kota Yaman, iaitu serangan terkini sedang ketegangan memuncak antara Israel dengan kumpulan pemberontak Houthi di Yaman.

Israel sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai supaya meninggalkan kawasan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, sehari selepas tentera Israel melancarkan serangan udara di pelabuhan Hodeidah di Yaman sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu oleh Houthi ke atas hab udara utama Israel pada Ahad (4 Mei).

"Langkah untuk tidak berpindah akan meletakkan anda dalam keadaan berbahaya," kata tentera Israel dalam amarannya yang disertai peta kawasan di sekeliling lapangan terbang itu.

Tiga sumber lapangan terbang memberitahu Reuters bahawa serangan yang berlaku pada Selasa itu menyasarkan tiga pesawat awam, dewan keberangkatan dan landasan lapangan terbang serta sebuah pangkalan udara tentera di bawah kawalan Houthi.

Ketegangan meningkat antara Israel dengan Houthi sedang kumpulan itu memperhebatkan serangannya sebagai tindak balas kepada tindakan Israel meluaskan operasi tenteranya di Carikan Gaza.

Houthi menyatakan pada Ahad mereka akan melaksanakan sekatan udara "secara menyeluruh" ke atas Israel dengan berkali-kali melancarkan serangan ke atas lapangan terbangnya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar akan bertindak balas selepas sebuah peluru berpandu Houthi gugur berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel, menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan Eropah dan Amerika Syarikat membatalkan penerbangan masing-masing.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita