Israel serang hospital Gaza, 15 maut termasuk wartawan
Serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Gaza pada Isnin (25 Ogos) meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa, termasuk empat wartawan, salah seorang daripadanya bekerja untuk Reuters, menurut para pegawai kesihatan Palestin.
Penduduk Palestin berkumpul di luar Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Carikan Gaza pada 25 Ogos 2025, susulan serangan Israel. (Gambar: AFP)
Jurukamera Hussam al-Masri, seorang pekerja kontrak Reuters, terbunuh dalam serangan pertama, menurut para pegawai berkenaan. Jurugambar Hatem Khaled, yang juga pekerja kontrak Reuters, cedera dalam serangan kedua, tambah mereka.
Tentera Israel dan Pejabat Perdana Menteri Israel setakat ini tidak memberi sebarang ulasan berhubung serangan tersebut.
Para saksi berkata serangan kedua berlaku selepas anggota penyelamat, wartawan dan orang ramai bergegas ke lokasi serangan pertama.
Siaran langsung video Reuters dari hospital itu, yang dikendalikan oleh Encik Masri, tiba-tiba terhenti apabila serangan pertama berlaku, berdasarkan rakaman Reuters.
Para pegawai kesihatan di Gaza menamakan tiga lagi wartawan yang terbunuh sebagai Mariam Abu Dagga, Mohammed Salama dan Moaz Abu Taha. Seorang anggota penyelamat juga antara yang maut, tambah mereka.
Lebih 240 wartawan Palestin terbunuh akibat serangan Israel di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, menurut Kesatuan Wartawan Palestin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.