Skip to main content

Dunia

Israel serang Beirut buat pertama kali sejak gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
 Israel serang Beirut buat pertama kali sejak gencatan senjata

Alaa Dahnoun, 12 tahun, menilat ke luar jendela yang musnah selepas gencatan senjata 10 hari antara Lubnan dengan Israel. (Gambar: REUTERS/Zohra Bensemra)

Diterbitkan : 07 May 2026 06:18AM Dikemas Kini : 07 May 2026 06:19AM
BEIRUT: Israel menyerang Beirut pada Rabu (6 Mei) buat kali pertama sejak bersetuju dengan gencatan senjata bersama Hezbollah bulan lalu. Israel menyatakan mereka menyasarkan seorang komander pasukan elit Radwan Hezbollah di kawasan pinggir bandar selatan bandar itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengumumkan serangan itu dalam satu kenyataan bersama. Media Israel melaporkan komander tersebut sudah terbunuh, namun belum ada pengesahan rasmi daripada tentera Israel mahupun Hezbollah.

Gencatan senjata di Lubnan itu merupakan asas kepada perdamaian yang lebih luas antara Amerika Syarikat dengan Iran, di mana tuntutan utama Iran adalah supaya Israel menghentikan serangan di Lubnan.

Ketika Iran dan Amerika Syarikat mengatakan mereka semakin hampir dengan perjanjian untuk menghentikan konflik, serangan terbaharu itu mengancam gencatan senjata yang sebelum ini menghentikan serangan Israel ke atas Beirut. Tentera Israel masih berada di kawasan selatan Sungai Litani dan serangan berterusan di selatan Lubnan.

Hezbollah, yang merupakan sekutu Iran, membalas dengan melepaskan tembakan dan melancarkan dron berani mati ke arah tentera Israel.

Awal pagi Rabu, Israel meminta para penduduk di beberapa kampung di utara Sungai Litani untuk berpindah, yang mungkin menandakan peluasan kawasan operasi Israel.

Rundingan antara Israel dengan Lubnan masih diteruskan, tetapi kebanyakannya hanya di peringkat duta. Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, berkata pada Rabu bahawa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang pertemuan peringkat tinggi antara Lubnan dengan Israel.

PERTEMUAN PERINGKAT TINGGI MASIH TERLALU AWAL

Encik Nawaf berkata mengukuhkan gencatan senjata akan menjadi asas bagi sebarang rundingan baharu antara utusan pemerintah Lubnan dengan Israel di Washington.

Bulan lalu, Washington menganjurkan dua pertemuan antara duta Israel dengan duta Lubnan ke Amerika Syarikat. Hezbollah membantah keras pertemuan tersebut.

Sejak Hezbollah mencetuskan perang dengan melepaskan tembakan untuk menyokong Iran pada 2 Mac, pentadbiran Lubnan yang diketuai oleh Encik Nawaf dan Presiden Joseph Aoun memulakan hubungan peringkat tertinggi dengan Israel dalam tempoh berpuluh tahun. Ini menunjukkan perpecahan mendalam antara kumpulan Syiah tersebut dengan penentang mereka di Lubnan.

Semasa mengumumkan sambungan gencatan senjata selama tiga minggu pada 23 April, Presiden Donald Trump berkata beliau berharap dapat menerima kunjungan Encik Netanyahu dan Encik Aoun dalam masa terdekat. Beliau melihat "peluang besar" untuk kedua-dua negara mencapai perjanjian damai tahun ini.

Encik Nawaf berkata Lubnan bukan mencari hubungan biasa dengan Israel, tetapi mahu mencapai keamanan.

"Tuntutan minimum kami adalah jadual waktu untuk pengunduran tentera Israel," katanya. Beliau menambah bahawa pemerintah akan merangka rancangan untuk mengehadkan senjata di bawah kawalan negara - satu usaha yang bertujuan untuk melucutkan senjata Hezbollah.

Encik Aoun berkata minggu ini bahawa masanya belum sesuai untuk bertemu Encik Netanyahu. Lubnan "mesti mencapai perjanjian keselamatan dan menghentikan serangan Israel terlebih dahulu, sebelum kita membincangkan soal pertemuan," katanya.

SERANGAN BALAS-MEMBALAS

Israel mewujudkan zon keselamatan sendiri sejauh 10 km ke dalam selatan Lubnan. Mereka berkata tujuannya adalah untuk melindungi utara Israel daripada anggota Hezbollah yang berada di kawasan awam.

Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan serangan udara Israel pada Rabu membunuh empat orang termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga emas di bandar Zelaya, selatan Lubnan.

Tentera Israel menyatakan Hezbollah melancarkan dron letupan dan roket ke arah tentera Israel di selatan Lubnan, menyebabkan dua tentera Israel cedera.

Mereka juga menyatakan bahawa tentera udara Israel memintas sebuah pesawat musuh sebelum ia memasuki ruang udara Israel, dan mengumumkan serangan ke atas prasarana Hezbollah di beberapa kawasan di Lubnan.

Lebih 2,700 orang terbunuh dalam perang di Lubnan sejak 2 Mac, menurut Kementerian Kesihatan.

Tentera Israel pula menyatakan bahawa Hezbollah melepaskan ratusan roket dan dron ke arah Israel sejak 2 Mac. Israel mengumumkan 17 anggota tenteranya terbunuh di selatan Lubnan, manakala dua orang awam terbunuh di utara Israel.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita