Skip to main content

Dunia

Israel sasar pemimpin kanan Hamas dalam serangan maut di Gaza

Israel menyatakan pada Sabtu (3 Okt) bahawa ia membuat percubaan untuk membunuh pemimpin tertinggi Hamas di Carikan Gaza menerusi serangan udara ke atas sebuah apartmen yang menurut pegawai tempatan, mengorbankan lima orang, termasuk empat wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel sasar pemimpin kanan Hamas dalam serangan maut di Gaza

Seorang wanita meninjau-ninjau serpihan di sebuah bangunan apartmen yang rosak teruk akibat serangan Israel di Gaza City, yang menurut Israel menyasarkan pemimpin tertinggi Hamas di wilayah tersebut. (Gambar: AFP/Omar Al-Qattaa)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 08:12AM
Israel targets senior Hamas leader in deadly strike in Gaza
  • Israel said its military had tried to kill Ali al-Amoudi, a senior Hamas figure in the Gaza Strip, in a pre-dawn air strike on an apartment on Saturday.
  • Local officials reported that five people were killed, including four women, while Israel said precision-guided missiles were used and efforts were made to reduce the risk to civilians.
  • Israel claimed al-Amoudi was involved in planning the Oct 7 attack and efforts to rebuild Hamas, but was still investigating whether he was killed or wounded.
  • The article also linked the strike to the Gaza war, the killing of Yahya Sinwar, Khalil al-Hayaa's negotiations, Benjamin Netanyahu's rejection, and the heavy death tolls in Gaza and Israel.
Dijana oleh AI
GAZA: Israel menyatakan pada Sabtu (3 Okt) bahawa ia membuat percubaan untuk membunuh pemimpin tertinggi Hamas di Carikan Gaza menerusi serangan udara ke atas sebuah apartmen yang menurut pegawai tempatan, mengorbankan lima orang, termasuk empat wanita.

Serangan sebelum subuh itu berlaku pada ulang tahun serangan 7 Oktober 2023 mengikut kalendar Yahudi. Serangan tersebut merupakan yang paling maut di Israel dan mencetuskan serangan besar-besaran Israel di Gaza.

Menurut tentera Israel,serangan tersebut bertujuan membunuh Ali al-Amoudi, yang disifatkannya sebagai "orang kanan" pemimpin Hamas Yahya Sinwar yang sudah terbunuh sebelum ini dan dikatakan terlibat dalam perancangan serangan 7 Oktober.

Israel menyatakan, ia sedang menyiasat sama ada Encik Amoudi terbunuh atau cedera dalam serangan tersebut.

Israel menyatakan serangan dilancarkan selepas ia menerima maklumat bahawa beliau berada di dalam sebuah bangunan apartmen, sambil menyatakan bahawa perkara tersebut menunjukkan Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

"Hari ini, al-Amoudi merupakan tokoh Hamas yang paling kanan di Carikan Gaza dan terlibat secara langsung dalam kegiatan keganasan Hamas serta usaha membina semula pertubuhan tersebut untuk berperang. Pengganas itu diserang bagi menghapuskan ancaman," menurut kenyataan tentera Israel.

"Langkah-langkah diambil untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam, termasuk menggunakan peluru berpandu tepat," menurut tentera Israel, sambil menambah ia "kesal atas sebarang kemudaratan terhadap individu yang tidak terlibat".

Israel membunuh Encik Sinwar di Gaza pada Oktober 2024, yang dilihat ramai rakyat Israel sebagai kemenangan simbolik yang besar. Namun, Israel berikrar untuk terus membinasakan Hamas meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat diisytiharkan setahun lalu.

Encik Amoudi dianggap sebagai tokoh paling kanan Hamas di Carikan Gaza. Pemimpin kumpulan itu, Khalil al-Hayaa, menetap di Qatar dan berusaha menggunakan saluran diplomatik untuk memanfaatkan Hamas.

Encik Hayaa pada Julai bersetuju dengan rancangan Amerika Syarikat supaya Hamas melucutkan senjatanya. Langkah itu disifatkan Presiden Donald Trump sebagai satu kejayaan besar, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak langkah tersebut sebagai tidak ikhlas.

Serangan pada 7 Oktober yang diterajui Hamas menyebabkan kematian 1,221 orang, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Serangan besar-besaran Israel sebagai tindak balas pula menyebabkan sebahagian besar Gaza musnah dan membunuh lebih 74,200 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas. Angka tersebut dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel membunuh lebih 1,440 orang sejak gencatan senjata diumumkan setahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Tentera Israel melaporkan lima anggotanya terbunuh dalam tempoh yang sama, di samping seorang kontraktor awam.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita