Skip to main content

Dunia

Israel sambung semula bantuan melalui udara ke Gaza

Israel menyambung semula penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza pada Sabtu (26 Jul), menurut jurucakap tentera Israel kepada Reuters, sedang pihak tentera mengumumkan beberapa langkah tambahan untuk meredakan krisis kemanusiaan berikutan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel sambung semula bantuan melalui udara ke Gaza

Penduduk Palestin berebut-rebut untuk mendapatkan makanan sumbangan di sebuah dapur amal di Bandar Gaza, utara Carikan Gaza, pada 26 Julai 2025. (Gambar: AP/Abdel Kareem Hana)

GAZA: Israel menyambung semula penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza pada Sabtu (26 Jul), menurut jurucakap tentera Israel kepada Reuters, sedang pihak tentera mengumumkan beberapa langkah tambahan untuk meredakan krisis kemanusiaan berikutan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa laluan kemanusiaan khas akan diwujudkan bagi membolehkan pergerakan selamat konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa bantuan untuk penduduk Gaza, dan jeda kemanusiaan akan dilaksanakan di kawasan berpenduduk padat.

“Bantuan udara akan merangkumi tujuh palet bantuan yang mengandungi tepung, gula dan makanan dalam tin yang disediakan oleh pertubuhan antarabangsa,” tambah kenyataan itu.

Sumber Palestin mengesahkan bahawa bantuan sudah mula dijatuhkan di utara Gaza.

Pertubuhan bantuan antarabangsa menyatakan kebuluran besar-besaran kini melanda 2.2 juta penduduk Gaza, dengan bekalan semakin berkurangan selepas Israel memutuskan semua saluran bantuan ke wilayah itu pada Mac, sebelum membukanya semula pada Mei dengan sekatan baharu.

Israel menyatakan pihaknya sudah membenarkan jumlah makanan yang mencukupi masuk ke Gaza dan menuduh PBB gagal mengagihkannya. PBB pula menyatakan bahawa mereka beroperasi sebaik mungkin dalam batasan yang dikenakan oleh Israel.

“IDF menegaskan bahawa tidak wujudnya kebuluran di Carikan Gaza; ini adalah kempen palsu yang dipromosikan oleh Hamas,” menurut kenyataan tentera Israel pada Sabtu.

“Tanggungjawab pengagihan makanan kepada penduduk Gaza terletak pada PBB dan pertubuhan bantuan antarabangsa. Oleh itu, PBB dan pertubuhan antarabangsa dijangka meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan dan memastikan bantuan tidak sampai ke tangan Hamas.”

PBB pada Khamis menyatakan bahawa jeda kemanusiaan akan membolehkan “peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan” dan menegaskan bahawa Israel belum menyediakan laluan alternatif yang mencukupi untuk konvoi mereka, sekali gus menjejaskan akses bantuan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, berpuluh-puluh penduduk sudah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala 127 meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, termasuk 85 kanak-kanak, sejak peperangan bermula hampir dua tahun lalu.

Pada Rabu, lebih 100 agensi bantuan memberi amaran bahawa kebuluran besar-besaran kini merebak ke seluruh wilayah itu.

Tentera Israel turut menyatakan pada Sabtu bahawa pihaknya sudah menyambungkan talian bekalan elektrik ke sebuah loji penyahgaraman air, yang dijangka dapat memenuhi keperluan air harian untuk kira-kira 900,000 penduduk Gaza.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita