Skip to main content

Dunia

Israel rampas semua kapal Global Sumud Flotilla: Penganjur

Anggaran Waktu Membaca:
  Israel rampas semua kapal  Global Sumud Flotilla: Penganjur

Global Sumud Flotilla, yang membawa aktivis termasuk Greta Thunberg, semakin menghampiri Gaza. (Gambar: Eleftherios ELIS / AFP)

Diterbitkan : 20 May 2026 10:14AM Dikemas Kini : 20 May 2026 10:47AM
ISTANBUL: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza pada Selasa (19 Mei) mendakwa semua kapal dalam konvoi bantuan itu sudah dirampas oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami sedang menunggu maklumat lanjut mengenai penculikan yang menyalahi undang-undang mereka,” menurut penganjur flotila itu dalam satu kenyataan di Telegram.

Sambil berikrar untuk meneruskan misi demi Palestin, pihak penganjur menyeru orang ramai supaya “menuntut laluan selamat”.

“Hantar emel kepada menteri luar negara anda,” tambah penganjur.

Pasukan pengurusan krisis konvoi itu memaklumkan bahawa tentera Israel telah merampas Lina Al-Nabulsi, kapal terakhir yang masih berada dalam flotila berkenaan.

Penganjur berkata tentera Israel memintas sejumlah 50 kapal yang membawa 428 individu dari 44 negara, termasuk 78 warga Turki.

Kementerian Luar Israel dalam catatan di platform X memaklumkan bahawa semua aktivis telah dipindahkan ke kapal Israel dan sedang dalam perjalanan ke Israel. Mereka kemudian akan dapat bertemu wakil konsular masing-masing.

Awal sebelum itu pada hari yang sama, flotila itu memaklumkan bahawa kapal tentera Israel terus menyerang dan menceroboh armada bantuan kemanusiaannya di perairan antarabangsa ketika konvoi berkenaan menuju ke Carikan Gaza.

Perkembangan itu berlaku ketika tentera Israel melancarkan serangan pada Isnin terhadap konvoi bantuan berkenaan di perairan antarabangsa.

Flotila yang terdiri daripada 54 kapal itu berlepas pada Khamis lalu dari daerah Marmaris di Turki dalam percubaan baharu untuk memecahkan sekatan haram Israel yang dikenakan ke atas Carikan Gaza sejak 2007.

Ini bukan kali pertama insiden seumpama itu melibatkan flotila berkenaan.

Pada akhir April lalu, tentera Israel menyerang kapal flotila di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete di Greece.

Konvoi itu pada masa berkenaan melibatkan 345 peserta dari 39 negara, termasuk warga Turki.

Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan Carikan Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun di Carikan Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang terkepung itu.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita