Skip to main content

Dunia

Israel perhebat pengeboman Gaza menjelang rundingan gencatan senjata di Rumah Putih

Penduduk Palestin di utara Gaza melaporkan serangan Israel yang paling dahsyat pada waktu malam sejak beberapa minggu lalu, selepas tentera itu mengeluarkan perintah pemindahan besar-besaran pada Isnin (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Israel perhebat pengeboman Gaza menjelang rundingan gencatan senjata di Rumah Putih

Seorang wanita Palestin duduk di tengah-tengah kerosakan di sebuah sekolah UNRWA pada 30 Jun 2025, di Bandar Gaza berikutan serangan udara Israel sehari sebelumnya. (Gambar: REUTERS/Mahmoud Issa)

KAHERAH: Penduduk Palestin di utara Gaza melaporkan serangan Israel yang paling dahsyat pada waktu malam sejak beberapa minggu lalu, selepas tentera itu mengeluarkan perintah pemindahan besar-besaran pada Isnin (30 Jun). Serangan itu berlaku sedang para pegawai Israel dijangka tiba di Washington bagi rundingan baharu mengenai gencatan senjata baharu yang diusahakan oleh pentadbiran Presiden Amerika Donald Trump.

Sehari selepas Encik Trump menggesa penamatan perang yang berlarutan selama 20 bulan itu, seorang individu yang rapat dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dijangka hadir di Rumah Putih untuk membincangkan gencatan senjata di Gaza, isu Iran dan kemungkinan perjanjian diplomatik serantau yang lebih meluas.

Namun, di wilayah Palestin itu, tiada tanda-tanda pertempuran akan reda.

“Letupan tidak pernah berhenti; mereka mengebom sekolah dan rumah. Rasanya seperti gempa bumi,” kata Salah, 60 tahun, bapa kepada lima orang anak, dari Bandar Gaza. “Dalam berita, kami dengar gencatan senjata semakin hampir, tetapi di lapangan kami melihat kematian dan mendengar banyak letupan.”

Kereta kebal Israel mara ke bahagian timur kawasan kejiranan Zeitoun di Bandar Gaza dan mengebom beberapa kawasan di utara, manakala pesawat tentera mengebom sekurang-kurangnya empat buah sekolah selepas memerintahkan ratusan keluarga yang berlindung di dalamnya supaya meninggalkan kawasan tersebut, kata para penduduk.

Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Isnin, menurut pihak berkuasa kesihatan, termasuk 10 orang yang maut di Zeitoun.

Tiada sebarang komen segera daripada tentera Israel, yang menyatakan bahawa militan Palestin berlindung dalam kalangan orang awam. Kumpulan militan menafikan dakwaan tersebut.

Pengeboman hebat itu berlaku susulan perintah pemindahan baharu ke kawasan-kawasan luas di utara, di mana tentera Israel sebelum ini menjalankan operasi dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Tentera Israel mengarahkan penduduk berpindah ke selatan, sambil mengatakan mereka merancang untuk memerangi pejuang Hamas yang beroperasi di utara Gaza, termasuk di tengah Bandar Gaza.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita