Skip to main content

Dunia

Israel nafi akses bantuan kemanusiaan di utara Gaza buat hari keempat

Anggaran Waktu Membaca:
 Israel nafi akses bantuan kemanusiaan di utara Gaza buat hari keempat

Logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). (Gambar: AFP/Ludovic Marin)

Diterbitkan : 22 Oct 2024 10:24AM Dikemas Kini : 22 Oct 2024 10:30AM
KANADA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (21 Okt) melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel terus menafikan permintaan untuk mengakses kawasan Falouja di Jabalya, utara Gaza untuk hari keempat berturut-turut, menyebabkan penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan tidak dapat menerima bantuan, lapor Agensi Anadolu.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq berkata permintaan untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan bahan api yang diperlukan bagi menggerakkan kemudahan air di Jabalya juga dinafikan oleh Israel.

“Bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan sistem bekalan air bersih telah habis, dan penduduk terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan air minum atau meminum air dari sumber yang tidak selamat,” kata Encik Haq.

Beliau turut memberi amaran bahawa "hampir tiada bantuan kemanusiaan yang sampai ke kem pelarian Jabalya," dan komunikasi di kawasan terbabit sangat terganggu, menyukarkan orang awam untuk mendapatkan bantuan ketika serangan udara dan pengeboman Israel terus berlaku di utara Gaza.

“Dari 6 Oktober hingga semalam, OCHA melaporkan bahawa 28 permintaan untuk pergerakan bantuan kemanusiaan bersasar ke Jabalya, Beit Hanoun, dan Beit Lahia - semua di Wilayah Utara Gaza - telah dinafikan oleh pihak berkuasa Israel, manakala tujuh lagi berdepan halangan,” katanya.

Hanya empat daripada 66 misi kemanusiaan yang dirancang melalui pos pemeriksaan Israel dari selatan ke utara Gaza berjaya dilaksanakan dalam 20 hari pertama Oktober.

Minggu lalu, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean melaporkan bahawa larangan Israel terhadap kemasukan bantuan telah menyebabkan 200,000 penduduk di utara Gaza tanpa bekalan makanan dan air minum.

Tentera Israel terus melancarkan serangan besar-besaran yang kini memasuki hari ke-17 di utara Gaza, sambil mengenakan kepungan ketat di kawasan berkenaan.

Serangan ini merupakan lanjutan daripada tindakan Israel yang mengorbankan lebih 42,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 99,800 orang sejak 7 Oktober tahun lalu.

Perang ini menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, sementara sekatan berterusan menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang semakin kritikal.

Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan ketenteraannya di Gaza.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita