Skip to main content

Dunia

Israel musnahkan rumah di Timur Baitulmakdis, peristiwa pertama dalam bulan Ramadan

Tentera Israel telah memusnahkan rumah di Timur Baitulmakdis yang dikuasai buat kali pertama dalam bulan Ramadan tahun ini, menurut laporan The New Arab.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel musnahkan rumah di Timur Baitulmakdis, peristiwa pertama dalam bulan Ramadan

Seorang lelaki Palestin dan dua kanak-kanak perempuan berdiri di tengah-tengah runtuhan rumah yang musnah akibat serangan Israel. (Gambar: AFP/Abdel Kareem Hana)

Diterbitkan : 06 Mar 2025 12:04AM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 12:05AM
BAITULMAKDIS: Tentera Israel telah memusnahkan rumah di Timur Baitulmakdis yang dikuasai buat kali pertama dalam bulan Ramadan tahun ini, menurut laporan The New Arab.

Sebuah rumah di Beit Hanina di Utara Baitulmakdis, milik keluarga Al-Khatifi, dirobohkan pada Selasa (4 Mac), menurut agensi berita Palestin, Wafa.

Peristiwa tersebut berlaku selepas sebuah apartmen dan ladang di Issawiya, di Timur Laut Baitulmaqdis, dimusnahkan pada Isnin (3 Mac). Menurut laporan Wafa, ladang tersebut dimusnahkan dengan alasan bahawa ia berdekatan dengan kawasan ketenteraan berhampiran.

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang berpusat di Baitulmakdis, Ir Amim, menyatakan bahawa pemusnahan tersebut adalah yang pertama dicatatkan sepanjang Ramadan. Ia turut menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel biasanya mengelak daripada melakukan pemusnahan sepanjang bulan suci Ramadan oleh kerana sensitiviti agama, lapor The New Arab.

Encik Avi Tatarsky, seorang penyelidik di Ir Amim, berkata "untuk kali pertama, Israel melanggar amalan lama mereka dengan memusnahkan rumah walaupun ketika bulan Ramadan – bulan suci bagi jutaan umat Islam di seluruh dunia."

"Ini menetapkan titik pertama berbahaya yang semakin membahayakan penduduk Timur Baitulmakdis, yang terpaksa membina tanpa permit disebabkan oleh dasar perancangan berdiskriminasi Israel."

Ir Amim menyatakan bahawa sejak awal 2025, 46 struktur dirobohkan, menggambarkannya sebagai "trend yang semakin cepat" berbanding tahun rekod bagi pemusnahan rumah pada 2024.

Sementara pihak Israel terus merobohkan rumah-rumah Palestin, jawatankuasa perancangan dan pembinaan tempatan di Baitulmakdis telah meluluskan pembinaan 1,000 unit perumahan di Timur Baitulmakdis, menurut penyiar awam Israel, Kan.

Pelan ini dibuat sedang Israel berusaha untuk meluaskan sempadan bandar Baitulmakdis. Dalam pada itu, timbalan datuk bandar Baitulmakdis, Aryeh King, mencadangkan kepada pemerintah untuk meletakkan penempatan haram di Tebing Barat ke dalam sempadan tersebut, menurut laporan Kan.

Pada Ahad, Kementerian Luar Palestin mengutuk cadangan itu, yang digelar projek 'Baitulmakdis Lebih Besar', yang menurut mereka sedang memajukan pencerobohan Israel terhadap Tebing Barat yang ditakluk dan merosakkan penubuhan negara Palestin pada masa depan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita