Israel, Maghribi bersetuju buka kedutaan tidak lama lagi
Israel dan Maghribi mencapai persetujuan untuk membuka kedutaan di negara satu sama lain tidak lama lagi.

Menteri Luar Israel Yair Lapid (kanan) dan Menteri bagi ehwal Afrika Maghribi, Mohcine Jazouli (tengah), merasmikan pejabat perhubungan baru Israel di ibu negara Rabat pada 12 Ogos 2021. (Gambar: MFA Israel/ AFP)
CASABLANCA: Israel dan Maghribi mencapai persetujuan untuk membuka kedutaan di negara satu sama lain tidak lama lagi.
Menteri Luar Israel Yair Lapid mengumumkan perkara itu pada Khamis (12 Ogos) di akhir lawatan pertamanya sejak kedua-dua negara itu memulihkan hubungan diplomatik.
"Pagi ini (semalam), kami membuat keputusan bersama Menteri (Luar Maghribi) Nasser Bourita bahawa kami bakal membuka kedutaan-kedutaan penuh di Tebing Barat serta Maghribi dalam tempoh beberapa bulan lagi," kata Encik Lapid semasa satu sidang media di ibu kota komersil Casablanca.
Disember lalu, Maghribi menjadi negara Arab yang keempat pada 2020 untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan.
Sebuah pejabat perhubungan bagi Israel di Maghribi dibuka di ibu negara Rabat pada awal Khamis, di luar kunjungan Encik Lapid ke negara Afrika Utara itu.
Encik Lapid mengalu-alukan jalinan hubungan dengan negara-negara Arab, malah berkata bahawa negara-negara lain bakal menyusul tetapi tidak memberikan nama negara-negara tersebut.
Beliau turut mengumumkan Israel juga akan membuka kedutaan di Bahrain.
Mengenai hubungan Israel-Palestin pula, Encik Lapid menegaskan sokongannya terhadap usaha untuk mewujudkan dua negara bagi menyelesaikan konflik, namun bukan dalam keadaan sekarang.
Pada Rabu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken menyifatkan lawatan Encik Lapid "penting buat Israel, Maghribi dan rantau lebih luas".
Kedutaan Amerika di Rabat menyatakan hubungan antara kedua-dua negara itu akan menjana "manfaat sebenar" bagi kedua-dua pihak termasuk penerbangan komersial langsung dan kerjasama ekonomi.
Pada Rabu, Israel dan Maghribi memeterai perjanjian perundingan politik, penerbangan dan budaya.
Maghribi dan Israel mengekalkan pejabat perhubungan pada 1990-an sebelum menutupnya sewaktu intifada kedua warga Palestin yang tercetus dari 2000 hingga 2005.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.