Skip to main content

Dunia

Israel luluskan rancangan tawan Bandar Gaza; kerahkan askar simpanan

Menteri pertahanan Israel pada Rabu (20 Ogos) meluluskan rancangan untuk menguasai Bandar Gaza serta memberi lampu hijau terhadap pengerahan kira-kira 60,000 askar simpanan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Hamas sedang pihak pengantara berusaha mencapai perjanjian gencatan senjata.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel luluskan rancangan tawan Bandar Gaza; kerahkan askar simpanan

Penduduk Palestin memeriksa lokasi serangan Israel di Bandar Gaza pada 20 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

BAITULMAKDIS: Menteri pertahanan Israel pada Rabu (20 Ogos) meluluskan rancangan untuk menguasai Bandar Gaza serta memberi lampu hijau terhadap pengerahan kira-kira 60,000 askar simpanan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Hamas sedang pihak pengantara berusaha mencapai perjanjian gencatan senjata.

Langkah oleh Menteri Pertahanan Israel Israel Katz, yang disahkan kepada AFP oleh seorang jurucakap, dilaksanakan sedang pihak pengantara menantikan respons rasmi dari Israel berhubung cadangannya yang terkini.

Walaupun pihak pengantara Qatar menyatakan sedikit keyakinan terhadap cadangan terkini itu, seorang pegawai kanan Israel berkata pemerintah Israel tetap berkeras dengan pendiriannya agar semua tebusan harus dibebaskan dalam sebarang perjanjian.

Rangka kerja yang diluluskan oleh Hamas mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari, pembebasan tebusan secara berperingkat, pembebasan beberapa banduan Palestin dan peruntukan bagi membenarkan bantuan dibawa masuk ke Gaza.

Israel dan Hamas sebelum ini menjalankan rundingan tidak langsung dari semasa ke semasa sepanjang peperangan itu, di mana dua perjanjian gencatan senjata bagi tempoh yang singkat berjaya dicapai di mana beberapa tebusan Israel dibebaskan sebagai ganti pelepasan beberapa tahanan Palestin.

Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang, 49 orang masih ditahan di Gaza termasuk 27 orang yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.

Sumber Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, memberitahu AFP pada Rabu bahawa cadangan terkini itu menjangkakan 10 tebusan dan 18 mayat dipulangkan dari Gaza.

Baki tahanan akan dibebaskan pada fasa kedua, dengan rundingan diteruskan bagi mencapai satu penghuraian yang lebih menyeluruh.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita