Skip to main content

Dunia

Israel lulus 19 penempatan baharu di Tebing Barat, cetus kebimbangan antarabangsa

Kabinet Israel meluluskan pembinaan 19 penempatan baharu di wilayah Tebing Barat yang didudukinya, menurut kenyataan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich pada Ahad (21 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
Israel lulus 19 penempatan baharu di Tebing Barat, cetus kebimbangan antarabangsa
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich. (Gambar: REUTERS)
TEL AVIV: Kabinet Israel meluluskan pembinaan 19 penempatan baharu di wilayah Tebing Barat yang didudukinya, menurut kenyataan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich pada Ahad (21 Dis).

Keputusan tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa kerana ia dilihat sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada usaha untuk mewujudkan negara Palestin yang merdeka, lapor Astro Awani.

Langkah terbaharu itu menjadikan jumlah penempatan baharu yang diluluskan sejak dua tahun lalu meningkat kepada 69, satu rekod baharu menurut kumpulan pemantau antipenempatan, Peace Now.

Dua daripada penempatan yang diluluskan merupakan kawasan yang pernah dikosongkan dalam pelan penarikan balik Israel pada 2005.

Encik Smotrich, yang dikenali dengan pendirian sayap kanan ekstrem, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Israel untuk “menghalang penubuhan negara Palestin.”

Menurut Astro Awani, beliau menegaskan bahawa pemerintah semasa Israel komited untuk memperkukuhkan kehadiran Yahudi di Tebing Barat.

Penempatan Israel di Tebing Barat secara meluas dianggap haram di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, baru-baru ini mengecam “pengembangan penempatan yang berterusan” oleh Israel sebagai halangan utama kepada keamanan serantau.

Langkah tersebut diumumkan ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berlangsung di Gaza, dengan tekanan antarabangsa semakin meningkat agar kedua-dua pihak mematuhi pelan damai yang dirangka Amerika Syarikat.

Pelan tersebut termasuk cadangan ke arah pembentukan negara Palestin yang merdeka, sesuatu yang ditolak oleh sebahagian besar anggota kabinet Israel semasa, lapor Astro Awani.

Sehubungan itu, para penganalisis politik melihat keputusan tersebut sebagai satu lagi tamparan hebat terhadap prospek penyelesaian dua negara.

“Dengan peningkatan hampir 50 peratus penempatan sejak 2022, ruang geografi untuk negara Palestin semakin terhakis,” kata seorang penganalisis dari Tel Aviv.

Pihak berkuasa Palestin dan masyarakat antarabangsa dijangka akan terus memberi tekanan diplomatik terhadap Israel berikutan perkembangan berkenaan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita