Israel letupkan pusat jagaan warga emas di selatan Lubnan
Penduduk memeriksa keadaan sebuah rumah yang musnah akibat serangan udara Israel di kampung Arab Salim, selatan Lubnan pada 28 Ogos 2026. (Gambar: AP)
- Tentera Israel meletupkan pusat jagaan warga emas dan merobohkan beberapa bangunan di selatan Lubnan, khususnya di Houla dan antara Markaba serta Rab El Thalathine.
- Serangan turut melibatkan dron dan bedilan meriam ke kawasan Jarmaq, Kfar Remman, Zawtar al-Gharbiyeh, Haddatha dan Haris.
- Insiden ini berlaku pada 29 Ogos, selepas perjanjian rangka kerja antara Lubnan dan Israel yang dimeterai pada 26 Jun dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara.
- Serangan dipercayai berkait dengan pelaksanaan perjanjian yang melibatkan pengunduran tentera Israel dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata termasuk Hezbollah.
BEIRUT: Tentera Israel pada Sabtu (29 Ogos) meletupkan sebuah pusat jagaan warga emas di selatan Lubnan, dalam satu lagi pencabulan terhadap kedaulatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Menukil Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), laporan itu menyebut pusat jagaan sosial warga emas berkenaan terletak di bandar Houla, daerah Marjayoun.
Tentera Israel turut merobohkan beberapa bangunan di antara bandar Markaba dengan Rab El Thalathine dalam daerah berkenaan.
Di daerah Nabatieh di selatan Lubnan, sebuah dron Israel menyerang kawasan lapang di antara Jarmaq dengan Kfar Remman, manakala bedilan meriam menyasarkan kawasan pinggir bandar Zawtar al-Gharbiyeh.
Meriam Israel turut membedil kawasan di antara bandar Haddatha dengan Haris.
Pada 26 Jun, Lubnan dan Israel mencapai perjanjian rangka kerja dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara, yang memperuntukkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat sebagai pertukaran kepada penempatan tentera Lubnan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata, termasuk Hezbollah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.