Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel lapor kes pertama 'flurona', jangkitan COVID-19 & selesema

Anggaran Waktu Membaca:
Israel lapor kes pertama 'flurona', jangkitan COVID-19 & selesema

Seorang jururawat menyiapkan dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan berdekatan Tel Aviv pada 27 Disember 2021. (Gambar: JACK GUEZ / AFP)

ISRAEL: Israel melaporkan kes pertama campuran dua penyakit yang jarang berlaku, iaitu demam selesema dan koronavirus, yang dikenali sebagai "flurona". 

Menurut laporan-laporan tempatan, pesakit adalah seorang wanita muda yang hamil yang kini dirawat di hospital, meskipun mengalami gejala ringan.

"Wanita tersebut didiagnosis dengan demam selesema dan koronavirus apabila tiba di hospital," kata Arnon Vizhnitser, Pengarah Jabatan Sakit Puan di Hospital Beilinson di bandar Petah Tikva. 

"Keputusan kedua-dua ujian adalah positif, sekalipun selepas diperiksa semula," katanya kepada akhbar tempatan Hamodia. 

"Penyakit itu adalah penyakit yang sama: kedua-dua penyakit itu mudah berjangkit dan boleh menyebabkan masalah pernafasan kerana kedua-duanya menyerang trakus pernafasan atas," tambah Profesor Vizhnitser. 

Menurut Kementerian Kesihatan Israel, pihaknya sedang mengkaji kes berkenaan untuk menentukan sama ada gabungan kedua-dua jangkitan tersebut boleh penyakit yang lebih memudaratkan. 

Pesakit wanita itu dijangka akan dibenarkan keluar hospital pada Khamis (6 Jan). 

Walaupun pesakit wanita itu merupakan kes pertama yang  didiagnosis dengan kedua-dua penyakit tersebut secara serentak, para doktor percaya terdapat lebih banyak kes serupa di negara itu.

"Kami sedang menyaksikan semakin ramai wanita hamil yang dijangkiti demam selesema. Memang satu cabaran besar untuk merawat seorang wanita yang mengalami demam sebelum bersalin," kata Profesor Vizhnitser. 

"Ini terutama sekali apabila tidak diketahui sama ada dia dijangkiti koronavirus ataupun demam selesema. Kedua-duanya kelihatan seakan-akan sama. Sebahagian besar penyakit itu menjejas sistem pernafasan." 

Israel sudah mula menawarkan empat suntikan dos vaksin kepada para individu dengan daya imun yang lemah pada Jumaat (31 Dis) untuk membendung penularan varian Omicron, lapor The Times of Israel. 

Negara tersebut tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup sejak April tahun lalu dan hanya mewajibkannya ke atas perhimpunan sosial yang besar dan sejak itu jumlah kes COVID-19 semakin meningkat. 

Data kementerian kesihatan menunjukkan sebanyak 5,000 kes jangkitan dilaporkan setakat Jumaat (31 Dis). Sejak dilanda pandemik, sebanyak 1,376,256 jangkitan dan 8,243 kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di Israel. 

Pada Khamis (30 Dis), ketua pasukan bertindak koronavirus memberi amaran bahawa sistem jagaan kesihatan negara itu akan "runtuh" jika Omicron terus menular, menurut Haaretz. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan