Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan udara ke atas Kementerian Pertahanan Syria, 3 terbunuh

Tiga orang terbunuh dan 34 yang lain cedera selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria di pusat bandar Damsyik, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Syria.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel lancar serangan udara ke atas Kementerian Pertahanan Syria, 3 terbunuh

Bangunan Kementerian Pertahanan Syria rosak teruk akibat serangan udara yang didakwa dilancarkan oleh Israel di Damsyik, Syria. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 17 Jul 2025 07:16AM
DAMSYIK: Tiga orang terbunuh dan 34 yang lain cedera selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria di pusat bandar Damsyik, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Syria.

Serangan tersebut turut menyasarkan kawasan berhampiran Istana Presiden, menjadikannya antara serangan paling berani Israel ke atas pemerintah Syria sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Rakaman televisyen menunjukkan bangunan kementerian tersebut musnah dengan asap tebal dan serpihan berterbangan ke udara.

Israel mendakwa serangan itu bertujuan untuk menghentikan penempatan semula pasukan rejim Syria di wilayah Sweida, kawasan yang kini bergolak akibat pertempuran antara kumpulan Druze, kumpulan Bedouin, dan tentera pemerintah.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa “amaran di Damsyik telah berakhir - kini tiba masa untuk serangan menyakitkan,” sambil menegaskan komitmen Israel untuk melindungi masyarakat Druze di Syria.

Serangan itu dilancarkan di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di Sweida, di mana lebih 250 orang dilaporkan terbunuh sejak hujung minggu lalu.

Hospital utama di wilayah itu turut dilaporkan diserang oleh kereta kebal pemerintah Syria.

Israel sudah lama menganggap dirinya sebagai pelindung masyarakat Druze, yang juga merupakan sebahagian daripada penduduk di Israel dan Bukit Golan yang diduduki.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa Israel “tidak akan membiarkan Druze diserang dan akan bertindak tegas terhadap sebarang percubaan sedemikian”.

Serangan itu menimbulkan kebimbangan bahawa Israel mungkin semakin terlibat dalam ketidakstabilan pasca Presiden Bashar al-Assad di Syria.

Amerika Syarikat sudah menggesa semua pihak untuk menghentikan keganasan dan memulakan rundingan damai dengan segera.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita