Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan udara baharu di pinggir bandar selatan Beirut

Tentera Israel melancarkan serangan udara baharu pada lewat Khamis (5 Mac) di kawasan pinggir bandar selatan Beirut selepas memberi amaran kepada beribu-ribu penduduk supaya berpindah dari kawasan terlibat, lapor Anadolu Ajansı (AA) memetik agensi berita nasional Lubnan, NNA.
Anggaran Waktu Membaca:
Israel lancar serangan udara baharu di pinggir bandar selatan Beirut
Kepulan asap dilihat di pinggir selatan Beirut pada awal pagi Jumaat, 6 Mac 2026, menyusuli serangan tentera Israel. (Gambar: REUTERS/Mohamed Azakir)
ISTANBUL: Tentera Israel melancarkan serangan udara baharu pada lewat Khamis (5 Mac) di kawasan pinggir bandar selatan Beirut selepas memberi amaran kepada beribu-ribu penduduk supaya berpindah dari kawasan terlibat, lapor Anadolu Ajansı (AA) memetik agensi berita nasional Lubnan, NNA.

Pesawat pejuang Israel setakat ini sudah melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara yang menyasarkan kawasan Al-Jamous dan Haret Hreik berhampiran Hospital Al-Sahel.

Awal dari itu pada Khamis, tentera Israel mengarahkan penduduk di pinggir selatan Beirut supaya meninggalkan kediaman mereka segera sebelum serangan udara dimulakan.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, secara khusus menggesa penduduk di kawasan kejiranan Burj al-Barajneh dan Hadath supaya menuju ke timur ke arah Gunung Lubnan melalui Jalan Beirut-Damsyik.

Penduduk di Haret Hreik dan Shiyah pula diarah berpindah ke utara menuju Tripoli melalui Lebuh Raya Beirut-Tripoli atau ke timur ke arah Gunung Lubnan melalui Lebuh Raya Metn.

Tentera Israel melancarkan siri serangan udara di seluruh Lubnan sejak Isnin, mengorbankan lebih 120 orang dan mencederakan hampir 700 yang lain menyusuli serangan oleh Hezbollah.

Peningkatan konflik itu berlaku ekoran serangan Israel-Amerika Syarikat ke atas Iran yang mengorbankan lebih 900 orang sejak Sabtu, termasuk Pemimpin Ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai-pegawai kanan tentera.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset milik Amerika Syarikat.

Israel berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan yang ditandatangani pada November 2024, dengan melancarkan serangan hampir setiap hari yang mengakibatkan ratusan kematian dan kecederaan.

Israel memulakan serangannya terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan meningkatkan konflik itu kepada perang berskala penuh pada September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 yang lain.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita