Israel lancar serangan 'besar-besaran' ke atas Gaza; Hamas tuduh Netanyahu langgar gencatan senjata
Tentera Israel mengumumkan pada Selasa (18 Mac) bahawa ia sedang melancarkan "serangan besar-besaran" di Carikan Gaza, sedang rundingan gencatan senjata terhenti.

Runtuhan bangunan di sekitar Tebing Gaza, pada 10 Mac 2025. (Gambar: AP/Leo Correa)
Dalam catatan di Telegram, tentera Israel berkata ia kini "melancarkan serangan meluas ke atas kubu-kubu Hamas di Carikan Gaza", sambil menambah bahawa butiran lanjut akan menyusul.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau mengarahkan tentera negara itu untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap Hamas di Gaza sebagai tindak balas terhadap keengganan kumpulan itu untuk membebaskan tebusan dan penolakan semua gencatan senjata yang disarankan.
“Israel akan, mulai sekarang, bertindak terhadap Hamas dengan kuasa ketenteraan,” kata Pejabat Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters pada Selasa bahawa Israel secara sepihak telah menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza.
Hamas juga berkata bahawa tindakan Encik Netanyahu telah membahayakan nyawa para tebusan di Gaza.
Pentadbiran Presiden Donald Trump telah dirujuk oleh Israel mengenai serangan itu, seorang jurucakap Rumah Putih memberitahu rancangan Hannity terbitan Fox News pada Isnin malam.
ANGKA KORBAN
Perkhidmatan kecemasan awam Palestin menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 35 serangan udara dilancarkan ke atas Gaza. Menurut pakar perubatan, sekurang-kurangnya 100 terbunuh, termasuk ramai kanak-kanak dan 150 yang lain cedera.
Tiga rumah di Deir Al-Balah di tengah Gaza, sebuah bangunan di Bandar Gaza, dan sasaran di Khan Younis dan Rafah telah dibedil, menurut para pakar perubatan dan saksi.
Seorang pegawai tentera Israel berkata, serangan itu menyasarkan komander, pegawai kanan dan infrastruktur Hamas.
Tentera Israel berkata ia bersedia untuk meneruskan serangan terhadap komander dan infrastruktur Hamas di Gaza selama mana yang diperlukan dan akan memperluaskan kempen melangkaui serangan udara.
Keganasan yang semakin meningkat berlaku di tengah-tengah perselisihan faham antara Israel dan Hamas tentang cara mengekalkan gencatan senjata tiga fasa yang bermula pada Januari.
Pengantara Arab, yang disokong oleh Amerika, tidak dapat mengatasi perbezaan antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam rundingan yang diadakan sejak dua minggu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.