Israel, Iran lancar lebih banyak serangan; Israel dakwa ia akan lumpuhkan program nuklear Tehran
Iran dan Israel melancarkan serangan udara terhadap satu sama lain pada awal pagi Sabtu (14 Jun), selepas Israel melancarkan serangan terbesarnya terhadap musuh lamanya itu, dalam usaha menghalang pembangunan nuklear Iran.
Peluru berpandu dilihat di ruang udara Israel sebelum ia membedil Tel Aviv pada awal pagi 14 Jun 2025. (Gambar: AP/Leo Correa)
Semboyan serangan udara berbunyi di Tel Aviv dan Baitulmakdis, dua bandar terbesar Israel, sebelum subuh, menyebabkan penduduk bergegas ke tempat perlindungan. Pihak tentera memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya telah beroperasi untuk memintas peluru berpandu dari Iran.
Menurut khidmat ambulans Israel, seorang lelaki dan seorang wanita terkorban manakala puluhan lagi cedera selepas peluru berpandu gugur berhampiran rumah mereka.
Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang mungkin tertimbus di bawah runtuhan bangunan kediaman di Rishon Lezion, sebuah bandar di luar Tel Aviv.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pada Sabtu, Iran telah bertindak keterlaluan dengan menyerang orang awam dan akan "menanggung kesan amat besar".
Bulan Sabit Merah Palestin pula melaporkan, peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran, membunuh lima penduduk Palestin termasuk tiga kanak-kanak di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Di Iran, beberapa letupan turut kedengaran di ibu kota Tehran, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.
Menurut agensi berita Fars, dua peluru berpandu membedil Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran, disusuli kebakaran di kawasan itu. Lapangan terbang itu, yang terletak berhampiran dengan kedudukan kepimpinan utama Iran, dipercayai menempatkan pangkalan tentera udara negara itu, termasuk jet-jet pejuang serta pesawat pengangkutan tentera.
Duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani berkata, 78 orang maut, termasuk para pegawai kanan tentera sejak Israel melancarkan serangannya. Lebih 320 orang cedera, kebanyakannya orang awam.
Agensi berita Fars turut melaporkan bahawa Tehran telah melancarkan serangan udara ketiga pada Sabtu, menyusuli dua serangan pada malam Jumaat.
Serangan tersebut merupakan tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Iran pada awal pagi Jumaat, yang menyasarkan panglima, saintis nuklear, tapak ketenteraan dan tapak nuklearnya.
Perkhidmatan ambulans Israel memaklumkan bahawa seramai 34 orang cedera dalam serangan pada malam Jumaat di Tel Aviv, dengan kebanyakannya mengalami kecederaan ringan. Polis kemudian mengesahkan bahawa seorang mangsa telah meninggal dunia.
Menurut dua pegawai Amerika Syarikat, tentera Amerika telah membantu menembak jatuh peluru berpandu Iran yang dilancarkan ke arah Israel pada Jumaat.
Tentera Israel menyatakan bahawa Iran telah melancarkan kurang daripada 100 peluru berpandu pada Jumaat, dan kebanyakannya telah dipintas atau gugur sebelum mencapai sasarannya. Beberapa bangunan di Tel Aviv dan sekitarnya rosak akibat serangan tersebut.
Serangan Israel yang berterusan terhadap Iran dan tindak balas Iran mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan tercetusnya konflik lebih meluas di rantau tersebut, walaupun sekutu Iran seperti Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lubnan telah digugat Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.