Skip to main content

Dunia

Israel ikrar akan bertindak balas; Hamas nafi langgar gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
Israel ikrar akan bertindak balas; Hamas nafi langgar gencatan senjata
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa sidang media bersama dengan Canselor Jerman Friedrich Merz (tiada dalam gambar) di Baitulmakdis pada Ahad, 7 Dis 2025. (Gambar: Reuters/Ariel Schalit/Pool)
Diterbitkan : 25 Dec 2025 07:33AM Dikemas Kini : 25 Dec 2025 07:45AM
BAITULMAKDIS: Israel akan bertindak balas terhadap Hamas atas apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran gencatan senjata Gaza, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Rabu (24 Dis), selepas seorang pegawai tentera Israel cedera akibat bahan letupan di bandar Rafah, selatan Gaza.

Berucap di majlis graduasi juruterbang Tentera Udara Israel, Encik Netanyahu menuduh Hamas enggan melucutkan senjata seperti yang dikehendaki di bawah perjanjian gencatan senjata pada Oktober lalu, sambil menyifatkan pendirian Hamas sebagai terang-terangan melanggar perjanjian tersebut.

“Israel akan bertindak balas sewajarnya,” kata Encik Netanyahu, sambil mendakwa bahawa Hamas telah menunjukkan bahawa mereka tidak berniat untuk melucutkan senjatanya.

Tentera Israel sebelum ini berkata satu alat letupan meletup pada sebuah kenderaan tentera di kawasan Rafah, mencederakan seorang pegawai. Tentera Israel terus beroperasi di beberapa bahagian di selatan Gaza walaupun gencatan senjata sudah dimeterai.

Hamas menafikan bertanggungjawab atas letupan itu. Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Merdawi, berkata dalam satu catatan di X bahawa letupan itu disebabkan oleh bahan letupan tentera Israel sendiri yang tidak meletup dan ditinggalkan semasa pertempuran sebelum ini, dan kumpulan itu telah memaklumkan kepada para pengantara tentang perkara tersebut.

DELEGASI ISRAEL BINCANG DI KAHERAH

Pada Rabu (24 Dis), pejabat Encik Netanyahu menyatakan bahawa delegasi Israel telah bertemu dengan para pengantara di Kaherah untuk membincangkan usaha mendapatkan semula mayat tebusan terakhir Israel yang masih ditahan di Gaza, iaitu pegawai polis Ran Gvili.

Delegasi itu termasuk wakil daripada tentera Israel, perkhidmatan perisikan Shin Bet dan Mossad.

Gencatan senjata semasa adalah hasil pelan 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada September lalu.

Walaupun fasa pertama, termasuk pemberhentian pertempuran, pembebasan tebusan dan tahanan serta pengunduran sebahagian askar Israel, sudah berkuat kuasa, rundingan mengenai fasa-fasa berikutnya terhenti.

Pelan itu akhirnya menyeru Hamas untuk melucutkan senjata dan melepaskan sebarang peranan pentadbiran di Gaza, di samping pengunduran penuh tentera Israel.

Hamas telah mengatakan sebelum ini bahawa ia hanya akan melucutkan senjata selepas penubuhan sebuah negara Palestin, yang telah berulang kali ditolak oleh Israel.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita