Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel ikrar akan balas serangan selepas Iran lancar sekitar 180 peluru berpandu

Iran melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu ke Israel pada Selasa (1 Okt) sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah pada minggu lalu serta kematian ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Anggaran Waktu Membaca:
BAITULMAKDIS/BEIRUT: Iran melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu ke Israel pada Selasa (1 Okt) sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah pada minggu lalu serta kematian ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Israel berikrar akan membalas serangan itu.

Tentera Israel mengumumkan demikian kira-kira sejam selepas serangan itu berakhir dengan "sebilangan besar" peluru berpandu dipintas.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa (1 Okt) menyifatkan serangan peluru berpandu besar-besaran Iran ke atas Israel sebagai "satu kesilapan besar" dan berjanji akan membuat Tehran "menanggung padahnya".

"Iran membuat kesilapan besar malam ini dan akan menanggung padahnya," tegas Encik Netanyahu beberapa jam selepas serangan itu, dan memberi amaran: "Sesiapa yang menyerang kami, kami akan menyerang mereka."

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Yoav Gallant, yang berada di pusat arahan dan kawalan untuk memantau pemintasan peluru berpandu Iran, turut berikrar akan menghukum Iran atas serangan itu.

"Iran masih belum serik - sesiapa sahaja yang menyerang Israel, akan menanggung padahnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Pasukan perubatan Israel melaporkan dua orang cedera ringan terkena serpihan, manakala di Tebing Barat pula, seorang rakyat Palestin terbunuh di Jericho "apabila terkena serpihan roket", gabenor bandar itu Hussein Hamayel memberitahu AFP.

Ia adalah serangan langsung kedua Iran ke atas Israel selepas serangan peluru berpandu dan dron pada April sebagai tindak balas terhadap serangan udara maut Israel ke atas Konsulat Iran di Damsyik.

Amerika Syarikat menyatakan serangan pada Selasa "kelihatan tidak berkesan dan dapat dipintas", dengan Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan memberi amaran bahawa Tehran boleh menjangkakan "padah yang berat".

Jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller berkata: "Saya tidak akan memikirkan apa akibatnya... tetapi ada perkara yang akan kami selaraskan dengan Israel".

Pengawal Revolusi Iran berkata mereka telah menyasarkan "tiga pangkalan tentera" di sekitar hab komersial Israel, Tel Aviv.

Menurut Pengawal Revolusi Iran, serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah minggu lalu serta kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam pengeboman di Tehran yang Israel dituduh bertanggungjawan.

Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam "konflik yang semakin meluas di Timur Tengah", sambil berkata dalam satu kenyataan: "Ia mesti dihentikan. Kami memerlukan gencatan senjata".

Ruang udara Israel ditutup selama beberapa jam dengan semua penerbangan dilencongkan, kata jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang.

Iraq dan Jordan, yang terletak antara Iran dan Israel, turut menutup ruang udara masing-masing.

Lubnan juga berbuat demikian sebelum ruang udaranya dibuka semula.

Jordan menegaskan bahawa sistem pertahanan udaranya telah bertindak balas terhadap peluru berpandu dan dron.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengarahkan tentera untuk "membantu sistem pertahanan Israel" dan menembak jatuh peluru berpandu Iran, dedah Rumah Putih.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan