Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel, Hezbollah saling tuduh langgar gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
Israel, Hezbollah saling tuduh langgar gencatan senjata

Seorang penduduk meninjau-ninjau kemusnahan di sebuah tapak yang mengalami serangan udara Israel di Beirut pada 13 Nov di tengah-tengah perang antara Israel dan Hezbollah. (Gambar:Anwar AMRO / AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 07:27AM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 07:45AM
BEIRUT: Tentera Israel berkata tentera udaranya menyerang kemudahan yang digunakan oleh Hezbollah untuk menyimpan roket jarak pertengahan di selatan Lubnan pada Khamis (28 Nov), selepas kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata yang bertujuan untuk menamatkan pertempuran selama setahun.

Israel berkata ia juga melepaskan tembakan ke arah apa yang didakwanya "suspek" yang tiba dengan kenderaan di beberapa kawasan di zon selatan, yang disebutnya sebagai melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Hezbollah yang berkuat kuasa pada Rabu.

Sementara itu, anggota parlimen Hezbollah, Hassan Fadlallah, pula menuduh Israel melanggar perjanjian itu. "Israel menyerang warga yang kembali ke kampung di sempadan," katanya kepada wartawan. “Ada pelanggaran hari ini oleh Israel, bahkan dalam bentuk yang sama.”

Berlakunya saling tuduh-menuduh itu menunjukkan betapa rapuhnya perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Rabu yang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Perancis untuk menamatkan konflik.

Gencatan senjata itu sepatutnya berlangsung selama 60 hari dengan harapan tamatnya permusuhan secara berkekalan.

Serangan udara Israel pada Khamis adalah yang pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada pagi Rabu. Sumber keselamatan Lubnan dan penyiar Al Jadeed berkata ia berlaku berhampiran Baysariyah, utara Sungai Litani.

Perjanjian gencatan senjata itu menetapkan bahawa kemudahan tentera yang tidak dibenarkan di selatan Sungai Litani harus dimusnahkan, tetapi tidak menyebut kemudahan tentera di utara sungai.

Awal sebelum itu, kereta kebal Israel melepaskan tembakan di lima bandar dan beberapa ladang pertanian di selatan Lubnan, Menurut media pemerintah dan sumber keselamatan Lubnan, sekurang-kurangnya dua orang cedera.

Semua kawasan itu terletak dalam jarak 2km dari Garisan Biru yang membatasi sempadan antara Lubnan dan Israel, di kawasan yang telah diumumkan oleh tentera Israel sebagai zon larangan di sepanjang sempadan, walaupun selepas perjanjian itu dipersetujui.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia telah mengenal pasti beberapa aktiviti mencurigakan yang menimbulkan ancaman dan melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.

"Sebarang penyelewengan daripada perjanjian ini akan dikuatkuasakan dengan senjata api," kata Ketua Staf Am Herzi Halevi.

Pada hari yang sama kemudian, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau telah mengarahkan tentera supaya bersiap sedia menghadapi pertempuran sengit jika gencatan senjata dilanggar.

"Kami menguatkuasakan perjanjian itu dengan tegas," kata PM Netanyahu dalam temu bual dengan Saluran 14 Israel. "Tetapi jika perlu saya memberi arahan kepada IDF, bersiap sedia sekiranya terdapat pelanggaran rangka kerja gencatan senjata, untuk peperangan yang sengit."

Penduduk Lubnan yang meninggalkan rumah mereka berhampiran sempadan selatan telah cuba kembali untuk memeriksa harta benda mereka. Bagaimanapun, tentera Israel kekal ditempatkan di dalam wilayah Lubnan di bandar-bandar di sepanjang sempadan dan wartawan Reuters mendengar dron pengawasan terbang di atas bahagian selatan Lubnan.

Tentera Israel pada Khamis memperbaharui perintah berkurung yang menyekat pergerakan penduduk di selatan Lubnan di selatan Sungai Litani antara 5.00 petang dan 7.00 pagi (11.00 malam dan 1.00 tengah hari, waktu Singapura).
Sumber : Reuters/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan