Skip to main content

Dunia

Israel, Hamas hentikan pertempuran selama 3 hari bagi vaksinasi polio di Gaza: WHO

Anggaran Waktu Membaca:
Israel, Hamas hentikan pertempuran selama 3 hari bagi vaksinasi polio di Gaza: WHO

(Gambar: Eyad BABA / AFP)

Diterbitkan : 30 Aug 2024 08:04AM
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Tentera Israel dan Hamas bersetuju kepada penggantungan sementara pertempuran selama tiga hari di Gaza yang dibahagikan kepada zon, bagi membolehkan pusingan pertama vaksinasi polio bagi 640,000 kanak-kanak, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis (29 Ogos).

Kempen vaksinasi ini dijangka untuk bermula pada Ahad (1 Sep), dengan penggantungan sementara pertempuran dijadualkan antara jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang (0300-1200 GMT), kata Rik Peeperkorn, pegawai kanan WHO bagi kawasan Palestin.

Beliau berkata bahawa kempen itu akan bermula di tengah Gaza dengan penggantungan sementara pertempuran selama tiga hari berturut-turut, dan kemudian akan beralih ke selatan Gaza di mana satu lagi penggantungan sementara pertempuran selama tiga hari akan dilaksanakan, dan akhirnya di utara Gaza.

Encik Peeperkorn menambah terdapat perjanjian untuk melanjutkannya kepada hari keempat, jika perlu.

"Daripada pengalaman kami, kami tahu satu atau dua hari tambahan sering diperlukan untuk memastikan perlindungan yang mencukupi," Mike Ryan, pengarah kecemasan WHO, memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Khamis semasa mesyuarat mengenai situasi kemanusiaan di Gaza.

Pusingan kedua vaksinasi polio diperlukan empat minggu selepas pusingan pertama, kata Encik Peeperkorn.

"Sekurang-kurangnya 90% perlindungan diperlukan semasa setiap pusingan kempen untuk menghentikan wabak dan mencegah penyebaran polio antarabangsa," kata Encik Ryan.

WHO mengesahkan pada 23 Ogos bahawa seorang bayi lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama seumpama itu di Gaza dalam tempoh 25 tahun.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk memastikan kempen ini, berkhidmat dan melindungi lebih 650,000 kanak-kanak Palestin di Carikan Gaza," kata pegawai Hamas Basem Naim kepada Reuters.

Unit kemanusiaan tentera Israel (COGAT) berkata pada Rabu (28 Ogos) bahawa kempen vaksinasi akan dijalankan dengan penyelarasan tentera Israel "sebagai sebahagian daripada jeda kemanusiaan rutin yang akan membolehkan penduduk sampai ke pusat perubatan di mana vaksin akan diberikan."

ARAHAN PEMINDAHAN

Israel sementara itu meneruskan "usaha tertumpu dan intensif" untuk menyampaikan bantuan ke Gaza dan menyelaraskan kempen vaksinasi polio bersama WHO dan agensi kanak-kanak PBB UNICEF, menurut Oren Marmorstein, jurucakap kementerian hal ehwal luar Israel, menerusi catatan di X.

Timbalan Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB Robert Wood berkata adalah penting bagi Israel memudahkan akses dan "memastikan tempoh tenang dan menahan diri daripada operasi ketenteraan semasa tempoh kempen vaksinasi." Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat menggesa "Israel untuk mengelakkan perintah pemindahan selanjutnya dalam tempoh ini."

Pertempuran terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang Israel, membunuh 1,200 dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.

Serangan Israel berikutnya ke atas kawasan yang ditadbir Hamas telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan tempatan.

Hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza juga menyebabkan krisis kelaparan dan membawa kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Antarabangsa yang dinafikan Israel .

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada Rabu berkata operasi bantuan di Gaza "sangat dihadkan oleh permusuhan, keadaan tidak aman, dan perintah pemindahan besar-besaran yang menjejaskan laluan dan kemudahan pengangkutan bantuan."

Pemangku ketua bantuan PBB Joyce Msuya berkata pada Khamis bahawa buat pertama kali dalam perang selama hampir 11 bulan itu, Israel membatalkan perintah pemindahan untuk tiga blok di Deir al-Balah, sambil menambah: "Pasukan kami sedang berusaha untuk mengesahkan sama ada kami boleh kembali ke premis yang terpaksa kami tinggalkan pada 25 Ogos."

Arahan pemindahan yang dikeluarkan pada Ahad telah "membawa kepada pemindahan terbesar kakitangan PBB sejak kami terpaksa meninggalkan Gaza utara pada Oktober 2023," kata Msuya, yang menjejas kira-kira 200 kakitangan, lebih daripada puluhan rumah tamu yang digunakan oleh PBB dan kumpulan bantuan dan empat gudang PBB.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita