Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel, Hamas capai perjanjian untuk tamatkan perang di Gaza, gencatan senjata bermula Ahad

Anggaran Waktu Membaca:
Israel, Hamas capai perjanjian untuk tamatkan perang di Gaza, gencatan senjata bermula Ahad

(Gambar: AFP/Eyad BABA)

Diterbitkan : 16 Jan 2025 07:13AM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 08:12AM

DOHA: Israel dan Hamas pada Rabu (15 Jan) mencapai persetujuan berperingkat untuk menamatkan perang di Gaza berikutan pertemuan berasingan dengan perdana menteri Qatar, sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan itu memberitahu AFP.

Tekanan untuk menamatkan pertempuran semakin memuncak sejak kebelakangan ini, apabila pengantara Qatar, Mesir dan AS mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan perjanjian.

Ini selepas 15 bulan konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan memburukkan keadaan di Timur Tengah.

Pada hari Rabu, sumber yang rapat dengan rundingan itu berkata Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani "bertemu perunding Hamas di pejabatnya untuk usaha terakhir" bagi memeterai perjanjian itu.

Sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan itu kemudiannya memberitahu AFP "gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan (telah) dicapai berikutan pertemuan (PM) Qatar dengan perunding Hamas dan secara berasingan perunding Israel di pejabatnya".

Dalam sidang media di Doha, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, memaklumkan bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa pada Ahad.

Beliau berkata rundingan sedang berlangsung dengan Israel dan Hamas untuk melaksanakan perjanjian tersebut.

"Perjanjian ini akan menghentikan pertempuran di Gaza, mempercepat bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Palestin dan menyatukan semula tebusan dengan keluarga mereka selepas lebih 15 bulan ditahan," kata Presiden AS Joe Biden di Washington.

Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, turut menyambut baik perjanjian ini melalui satu catatan di platform X.

Pengumuman itu dibuat selepas berbulan-bulan gagal untuk menamatkan perang paling dahsyat dalam sejarah Gaza, dan beberapa hari sebelum pelantikan presiden terpilih AS Donald Trump, yang segera menyambut baik perjanjian itu sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh Rumah Putih.

"Kami mencapai perjanjian untuk pembebasan tebusan di Timur Tengah. Mereka akan dibebaskan sebentar lagi. Terima kasih!" kata Encik Trump dalam rangkaian Truth Socialnya.

Rakyat Palestin menyambut perjanjian itu dengan kegembiraan di jalan-jalan Gaza, walaupun mereka masih berdepan krisis kemanusiaan yang teruk dengan kekurangan bekalan makanan, air dan bahan api.

Menurut laporan Reuters, perjanjian yang kompleks itu menetapkan fasa awal gencatan senjata selama enam minggu, termasuk penarikan balik secara berperingkat tentera Israel dari Carikan Gaza serta pembebasan tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan Israel.

Fasa pertama perjanjian ini melibatkan pembebasan 33 tebusan Israel, termasuk semua wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun.

Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri,berkata perjanjian ini adalah "satu pencapaian besar."

Kumpulan itu telah memberikan kelulusan kepada perantara untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata itu dan pembebasan tebusan.

Di Israel, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyebut bahawa Hamas telah menggugurkan permintaan saat akhir mereka, namun terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan dalam perjanjian ini.

"Kami berharap butirannya akan diselesaikan malam ini," menurut kenyataan itu.

Tentera Israel menyerang Gaza selepas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang menyebabkan kematian 1,200 tentera dan orang awam Israel serta penculikan lebih 250 tebusan.

Sejak itu, serangan udara dan darat Israel di Gaza telah meragut lebih 46,000 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal kini berdepan musim sejuk di khemah dan tempat perlindungan sementara.

Sumber : Agensi berita/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan