Israel guna kebuluran sebagai 'senjata' terhadap penduduk Palestin
Afrika Selatan pada Selasa (29 Apr) memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin di wilayah ditaklukinya, sekali gus melanggar kewajipan antarabangsa.
Seorang lelaki Palestin memeriksa tapak sebuah rumah di Bandar Gaza yang musnah dibedil Israel pada 24 Apr 2025. (Gambar: REUTERS/Mahmoud Issa)
“Undang-undang antarabangsa melarang Israel daripada menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan. Sekalipun di bawah kepungan atau sekatan, Israel tidak boleh menghukum secara kolektif rakyat Palestin yang dilindungi di bawah pendudukan haramnya,” kata wakil Afrika Selatan, Jaymion Hendricks pada hari kedua perbicaraan awam di The Hague.
Encik Hendricks berkata Israel “menggunakan sepenuhnya teknik kebuluran, mengawal tahap penderitaan dan kematian akibat sistem makanan, hingga ke tahap genosid. Walaupun terdapat percubaan mengerikan oleh pegawai Israel untuk menggambarkan sebaliknya, rakyat Palestin adalah manusia.”
Beliau menegaskan yang Israel “perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara ikhlas dan memberikan segala bantuan yang diperlukan,” dan mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan, serta memudahkan bantuan kemanusiaan, perkhidmatan asas dan pembangunan yang disalurkan oleh PBB, negara ketiga dan pertubuhan antarabangsa lain.
Encik Hendricks turut menegaskan bahawa Israel mesti “menghentikan permusuhan sepenuhnya” dan “segera menarik balik keputusan untuk mengusir Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta agensi PBB lain daripada melaksanakan mandat mereka.”
Beliau turut menyeru PBB agar “menuntut dan berunding untuk menghapuskan halangan yang dikenakan oleh Israel” dan “terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin” meskipun terdapat sekatan Israel.
Negara ketiga juga, katanya, “mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf tindakan salah Israel di peringkat antarabangsa, termasuk pengharaman terhadap UNRWA...dan perlu bekerjasama untuk menamatkan tindakan itu,” sambil menggesa mereka agar menghentikan penyaluran senjata kepada Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.