Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel dijangka luluskan perjanjian gencatan senjata, tebusan: Pejabat Netanyahu

Anggaran Waktu Membaca:
Israel dijangka luluskan perjanjian gencatan senjata, tebusan: Pejabat Netanyahu

(Gambar: AP Photo/Abdel Kareem Hana)

Diterbitkan : 17 Jan 2025 02:17PM Dikemas Kini : 17 Jan 2025 02:26PM
BAITULMAKDIS: Kabinet keselamatan Israel dijadualkan bertemu pada Jumaat (17 Jan) selepas butiran terakhir perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan dimuktamadkan, menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Amerika Syarikat juga berasa "yakin" bahawa gencatan senjata itu akan bermula seperti yang dirancang hujung minggu ini.

Jika diluluskan oleh kabinet Israel, perjanjian gencatan senjata itu akan berkuat kuasa pada Ahad dan melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin, yang mana selepas itu terma-terma untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama 15 bulan.

Namun, serangan Israel telah membunuh puluhan orang, menurut penyelamat Gaza pada Khamis, sementara tentera Israel melaporkan telah membedil kira-kira 50 sasaran di seluruh wilayah sejak semalam.

Sidang kabinet itu sepatutnya berlangsung pada Khamis tetapi ditangguhkan kerana Encik Netanyahu menuduh Hamas membuat tuntutan baharu tetapi Hamas, menafikannya.

Pejabatnya kemudian menyatakan pada awal pagi Jumaat bahawa "perjanjian untuk membebaskan tebusan" sudah dicapai dan beliau mengarahkan kabinet politik dan keselamatan bersidang bagi meluluskan perjanjian tersebut.

"Pemerintah akan bersidang untuk meluluskan perjanjian itu," tambahnya.

Sekurang-kurangnya dua anggota Kabinet telah menyuarakan tentangan terhadap gencatan senjata itu, dengan Menteri Keselamatan Negara dari sayap kanan, Itamar Ben Gvir, berkata beliau dan rakan-rakan partinya akan meninggalkan pemerintah - tetapi bukan gabungan pemerintah - jika perjanjian "tidak bertanggungjawab" itu diluluskan.

Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, juga menentang gencatan senjata itu, menyifatkannya sebagai "perjanjian berbahaya".

Namun Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken, yang terlibat dalam usaha pengantaraan selama berbulan-bulan, berkata pada Khamis bahawa beliau percaya gencatan senjata itu akan diteruskan mengikut jadual.

"Saya yakin, dan saya sepenuhnya menjangkakan bahawa pelaksanaan akan dimulakan, seperti yang kami katakan, pada Ahad," katanya.

SERANGAN DITERUSKAN

Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan Israel meneruskan serangan ke atas beberapa kawasan di wilayah itu selepas perjanjian diumumkan pada Rabu, membunuh sekurang-kurangnya 80 orang dan mencederakan beratus-ratus lain sejak itu.

Cabang tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam memberi amaran bahawa serangan-serangan Israel itu boleh membahayakan nyawa orang-orang tebusan yang hendak dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, dan boleh mengubah "kebebasan mereka ... menjadi satu tragedi".

Perang bermula apabila Hamas menyusup ke Israel pada 7 Oktober 2023 dan melakukan serangan besar-besaran yang membunuh 1,210 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Namun serangan balas Israel ke atas Gaza sepanjang tempoh itu membunuh lebih 46,000 orang, kebanyakannya orang awam.
Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan