Skip to main content

Dunia

Israel dijangka buka semula Lintasan Rafah ke Mesir selepas terima mayat dipercayai tebusan terakhir

Israel menerima mayat yang mungkin merupakan salah seorang tebusan terakhir di Gaza pada Rabu (3 Dis) dan berkata ia akan mula membenarkan rakyat Palestin meninggalkan wilayah yang dilanda perang itu melalui lintasan sempadan dengan Mesir.
Anggaran Waktu Membaca:
Israel dijangka buka semula Lintasan Rafah ke Mesir selepas terima mayat dipercayai tebusan terakhir
Anggota kumpulan Jihad Islam dan Hamas membawa beg mayat berwarna putih yang dipercayai mengandungi sisa mayat seorang tebusan, di bandar Beit Lahiya di utara Carikan Gaza, pada 3 Disember 2025. (Gambar: AP/Jehad Alshrafi) 
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 04 Dec 2025 07:09AM Dikemas Kini : 04 Dec 2025 07:51AM
BAITULMAKDIS: Israel menerima mayat yang mungkin merupakan salah seorang tebusan terakhir di Gaza pada Rabu (3 Dis) dan berkata ia akan mula membenarkan rakyat Palestin meninggalkan wilayah yang dilanda perang itu melalui lintasan sempadan dengan Mesir.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata serangan oleh kumpulan militan pada awal Rabu yang mencederakan empat askar Israel di selatan Gaza adalah satu pelanggaran gencatan senjata dan Israel "akan bertindak balas sewajarnya."

Mayat-mayat yang ditemui di utara Gaza telah diserahkan kepada Israel, di mana ia akan diperiksa oleh pakar forensik.

Mayat-mayat yang diserahkan Hamas pada Selasa tidak sepadan dengan mana-mana dua tebusan terakhir di Gaza.

Penyerahan semua tebusan yang diculik dan ditahan semasa serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza merupakan elemen penting dalam fasa pertama gencatan senjata yang dikuatkuasakan pada Oktober.

Sebagai ganti, Israel telah membebaskan para tahanan Palestin.

Di bawah syarat-syarat gencatan senjata, Lintasan Rafah yang telah lama ditutup akan dibuka untuk pemindahan perubatan dan perjalanan ulang-alik dari Gaza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan terdapat lebih daripada 16,500 orang yang sakit dan cedera yang perlu meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Walau bagaimanapun, tidak jelas bila lintasan sempadan akan dibuka.

Mesir mahu rakyat Palestin dapat pulang ke Gaza melalui lintasan itu dan menyatakan ia hanya akan dibuka jika pergerakan dibenarkan dari kedua-dua arah.

Israel pula menyatakan bahawa rakyat Palestin tidak akan dapat pulang ke Gaza melalui lintasan itu sehingga mayat tebusan terakhir dikembalikan dari Gaza.

Sebaik sahaja mayat tebusan terakhir diserahkan dan Israel membebaskan lebih ramai tahanan Palestin sebagai ganti, pelan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat sepatutnya diteruskan ke fasa seterusnya, yang menyeru untuk mewujudkan pasukan pengaman antarabangsa, membentuk pemerintah Palestin yang teknokratik dan melucutkan senjata Hamas.
Sumber : AP/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita