Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel dakwa komander Hamas maut dalam serangan udara ke atas pusat agihan makanan PBB

Anggaran Waktu Membaca:
GAZA: Israel menyatakan pada Rabu (13 Mac) bahawa serangan udaranya ke atas sebuah pusat agihan makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Gaza membunuh seorang komander Hamas yang telah menjadi sasaran pasukan tentera negara itu, sedang para pegawai kesihatan Palestin berkata empat orang turut terbunuh termasuk seorang pekerja PBB.

Menurut tentera Israel, serangan itu meragut nyawa Mohammad Abu Hasna, yang disifatkannya sebagai militan Hamas yang memberikan maklumat risikan kepada kumpulan itu mengenai kedudukan tentera Israel dan "juga terlibat dalam mengawal bantuan kemanusiaan dan mengagihkannya kepada para anggota Hamas".

Nama Mohammad Abdel-Halim Abu Hasna disertakan dalam senarai lima kematian akibat serangan itu, yang disediakan oleh para pegawai kesihatan Gaza.

Tiada pengesahan segera daripada Hamas bahawa Mohammad Abu Hasna adalah anggota kumpulan itu yang kini sedang bertempur dengan tentera Israel di Gaza.

Awal dari itu, agensi utama PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan bahawa salah satu kemudahannya telah diserang di Rafah, kawasan di selatan Gaza di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza sedang berlindung.

Sekurang-kurangnya seorang kakitangan UNRWA adalah antara lima yang terbunuh dan 22 yang lain cedera, menurut agensi itu dan koordinat kemudahan itu telah dikongsi dengan tentera Israel.

“Serangan hari ini ke atas salah satu daripada sebilangan kecil pusat agihan bantuan UNRWA yang masih beroperasi di Carikan Gaza berlaku ketika bekalan makanan kehabisan dan kelaparan semakin meningkat di beberapa kawasan yang bertukar menjadi kebuluran,” dedah ketua UNRWA Philippe Lazzarini.

Hamas bagaimanapun menyangkal tuduhan Israel dan sebaliknya menuduh Israel menggunakan kebuluran untuk meningkatkan lagi tekanan terhadap para penduduk Palestin.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Rabu (13 Mac) bahawa beliau bertekad mahu UNRWA digantikan oleh agensi lain tanpa menjejaskan pengagihan bantuan, sambil memetik dakwaan terdapat hubungan antara agensi itu dengan kumpulan Hamas.
 
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan