Skip to main content

Dunia

Israel dakwa bunuh komander kanan Hamas di Gaza

Israel pada Sabtu (13 Dis) menyatakan bahawa ia sudah membunuh ketua pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas di Gaza, selepas satu bahan letupan meletup dan mencederakan dua anggota tentera Israel di selatan wilayah itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Israel dakwa bunuh komander kanan Hamas di Gaza
Khemah-khemah memenuhi sebuah kem sementara bagi warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Deir al-Balah, di tengah Carikan Gaza, pada 13 Disember 2025. (Gambar: AP/Abdel Kareem Hana)
BAITULMAKDIS: Israel pada Sabtu (13 Dis) menyatakan bahawa ia sudah membunuh ketua pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas di Gaza, selepas satu bahan letupan meletup dan mencederakan dua anggota tentera Israel di selatan wilayah itu.

“Sebagai tindak balas terhadap pengaktifan bahan letupan Hamas yang mencederakan pasukan kami hari ini… Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz mengarahkan penyingkiran pengganas Raad Saad, ketua pembinaan kekuatan Hamas,” kata perdana menteri dan menteri pertahanan itu dalam satu kenyataan bersama.

Tentera Israel menyifatkan Encik Saad sebagai “antara arkitek” serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza. Tentera itu sebelum ini pada Sabtu memaklumkan dua anggota simpanannya cedera ringan selepas bahan letupan berkenaan meletup “semasa operasi membersihkan kawasan” di selatan Gaza.

Hamas tidak mengesahkan kematian Raed Saad. Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menyatakan sebuah kenderaan awam diserang di luar Gaza City dan menegaskan tindakan itu merupakan sebentuk pelanggaran ke atas gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Encik Saad berkhidmat sebagai pegawai Hamas yang bertanggungjawab terhadap pembuatan senjata dan sebelum ini mengetuai bahagian operasi kumpulan bersenjata tersebut. Kenyataan Israel menyebut beliau “terlibat dalam usaha membina semula pertubuhan pengganas tersebut” sehingga melanggar gencatan senjata.

Serangan Israel di barat Gaza City mengorbankan empat orang, menurut seorang wartawan Associated Press yang melihat jasad mereka dibawa ke Hospital Shifa. Tiga lagi cedera, menurut Hospital Al-Awda.

ISRAEL DESAK PEMULANGAN TEBUSAN TERAKHIR

Israel dan Hamas berulang kali menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata.

Serangan udara dan tembakan Israel di Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 386 warga Palestin sejak gencatan senjata berkuat kuasa, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Israel menyatakan serangan-serangan kebelakangan ini adalah sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan bersenjata ke atas tenteranya, dan bahawa anggota tenteranya melepaskan tembakan ke arah warga Palestin yang menghampiri “Garis Kuning” antara kawasan Gaza yang dikuasai Israel dengan bahagian lain wilayah itu.

Israel turut menuntut agar kumpulan bersenjata Palestin memulangkan jasad tebusan terakhir, Ran Gvili, dari Gaza dan menyifatkannya sebagai syarat untuk beralih ke fasa kedua gencatan senjata yang lebih rumit. Fasa itu menggariskan visi untuk menamatkan pemerintahan Hamas dan menyaksikan pembinaan semula Gaza yang dinyahsenjatakan di bawah pengawasan antarabangsa.

Serangan awal yang diketuai Hamas pada 2023 ke atas selatan Israel mengorbankan sekitar 1,200 orang dan menjadikan 251 orang sebagai tebusan. Hampir semua tebusan atau jasad mereka sudah dipulangkan melalui gencatan senjata atau perjanjian lain.

Kempen Israel selama dua tahun di Gaza pula mengorbankan lebih 70,000 warga Palestin - kira-kira separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak - menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu, dan tidak membezakan antara ahli kumpulan bersenjata atau orang awam dalam perhitungannya.

Kementerian berkenaan, yang beroperasi di bawah pentadbiran pemerintah pimpinan Hamas, dikendalikan oleh para karyawan perubatan dan mengekalkan rekod terperinci yang secara umum dianggap boleh dipercayai oleh masyarakat antarabangsa.

Sebahagian besar daripada Gaza musnah, dan kebanyakan penduduknya yang melebihi dua juta orang kehilangan tempat tinggal. Kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu juga terus berada di bawah paras yang ditetapkan syarat gencatan senjata.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita