Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel 'bertanggungjawab sepenuhnya' atas pembunuhan Ismail Haniyeh, kata OIC

Anggaran Waktu Membaca:
Israel 'bertanggungjawab sepenuhnya' atas pembunuhan Ismail Haniyeh, kata OIC

Gambar: AFP

Diterbitkan : 08 Aug 2024 08:21AM Dikemas Kini : 08 Aug 2024 08:27AM
JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyalahkan Israel atas serangan yang membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh minggu lalu di Iran yang telah berikrar akan membalas dendam atas pembunuhan itu.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa blok 57 negara anggota itu pada Rabu (7 Ogos) di Arab Saudi, OIC berpendapat, "dengan menganggap Israel, kuasa penjajah yang tidak sah itu bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan kejam ini" yang turut disifatkan pertubuhan itu sebagai "pelanggaran serius" kedaulatan Iran.

Menteri Luar Gambia, Mamadou Tangara, yang negaranya mempengerusikan OIC berkata, pembunuhan "kejam" Encik Haniyeh dan perang berterusan di Gaza juga boleh membawa kepada konflik serantau.

“Pencerobohan dan pencabulan kedaulatan dan integriti wilayah Republik Islam Iran dengan pembunuhan seorang pemimpin politik di buminya adalah satu tindakan yang tidak boleh dilihat secara berasingan,” kata Encik Tangara.

"Perbuatan kejam, ini hanya meningkatkan ketegangan sedia ada yang berpotensi membawa kepada konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh rantau tersebut."

Iran dan Palestin telah menggesa mesyuarat OIC diadakan di Jeddah, Arab Saudi.

Blok itu menggambarkan kesatuan itu sebagai suara kolektif dunia Islam.

Tuan rumah Arab Saudi juga berkata, pembunuhan Encik Haniyeh dengan jelas memperlihatkan "pelanggaran terang-terangan" kedaulatan Iran.

Timbalan Menteri Luarnya, Waleed al-Khereiji berkata, Arab Saudi menolak "sebarang pencabulan kedaulatan negara atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman mana-mana negara."

Hamas dan Iran telah menyalahkan Israel atas pembunuhan Encik Haniyeh di Tehran minggu lalu, namun, pemerintah Israel tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.

Iran telah berjanji untuk membalas dendam, mengancam "hukuman keras" ke atas Israel.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain telah menyeru agar ketegangan dikendurkan.

Pada Rabu, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Matthew Miller berkata, beberapa negara anggota OIC bersetuju dengan Washington bahawa peningkatan ketegangan hanya akan memburukkan lagi krisis yang berterusan di rantau itu.

“Kami berharap pada mesyuarat OIC itu, perkara yang sama berlaku seperti yang telah kami cuba laksanakan sepanjang minggu lalu iaitu semua pihak yang mempunyai hubungan dengan Iran memberi penekanan kepada Iran - dengan cara yang sama yang kami tekankan kepada pemerintah Israel - bahawa mereka tidak seharusnya mengambil sebarang langkah untuk meningkatkan konflik,” kata Encik Miller.

Tambah beliau, peningkatan serantau boleh menjejaskan prospek perjanjian gencatan senjata di Gaza.

“Mesej yang kami hantar kepada semua orang ialah: Lihat, ini jelas merupakan masa yang sangat rumit untuk rantau ini. Ketegangan sangat tinggi. Kami berada di peringkat akhir - mudah-mudahan - perjanjian gencatan senjata (dicapai),” kata Encik Miller.

"Dan peningkatan ketegangan berpotensi membuatkan setiap masalah yang dihadapi oleh rantau ini menjadi lebih teruk."

Encik Haniyeh digantikan oleh pemimpin kanan Hamas, Yahya Sinwar untuk mengetuai rundingan gencatan senjata untuk kumpulan itu, tetapi Amerika tidak mengutuk pembunuhannya.

Hujung Mei lalu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden membentangkan apa yang disifatkannya sebagai cadangan Israel mengenai berbilang fasa untuk menamatkan perang yang akan menyaksikan pembebasan tebusan Israel di Gaza dan tawanan Palestin di Israel yang membawa kepada gencatan senjata yang "berkekalan."

Washington yang telah memveto tiga langkah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan menggesa gencatan senjata di Gaza, pada mulanya menyalahkan Hamas atas kegagalan mencapai persetujuan.

Namun begitu, pada Rabu, Encik Miller berkata, isu dan fakta tambahan di lapangan sudah mula dimainkan sejak Mei dan terdapat "isu akhir" yang kedua-dua Hamas dan Israel masih perlu bersetuju.

Beliau menekankan, perselisihan yang masih ada "boleh diselesaikan."

Dalam ucapannya di mesyuarat OIC, Encik Tangara menggesa "keamanan yang berkekalan bagi menangani punca konflik [Israel-Palestin]."

“Adalah penting bagi masyarakat global untuk bersama-sama memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan dan berusaha ke arah huraian politik yang mampan yang menggalakkan keamanan dan keselamatan untuk semua orang di rantau ini,” kata Encik Tangara. 
Sumber : AGENCIES/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan