Skip to main content

Dunia

Israel bersiap siaga susuli serangan tembakan di Tebing Barat

Anggaran Waktu Membaca:
Israel bersiap siaga susuli serangan tembakan di Tebing Barat

Israel melancarkan serangan udara terhadap Lubnan dan Gaza sebagai membalas pelancaran beberapa roket dari Lubnan, yang menurut Israel dilancarkan oleh anggota kumpulan bersenjata dari Palestin. (Gambar fail: AP)

JERUSALEM: Dua wanita Israel dibunuh dalam insiden tembakan di Tebing Barat yang diduduki pada Jumaat (7 Apr). Israel mengerahkan semula tentera berdekatan dengan sempadannya setelah keganasan rentas sempadan dan serbuan polis di Masjid Al-Aqsa meningkatkan kebimbangan mengenai kemelut yang kian meruncing.

Meskipun pegawai militan melancarkan roket dari Lubnan serta Gaza sehari lalu dan tentera Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan udara, tiada kecederaan serius lain dilaporkan berlaku sepanjang sempadan tersebut.

Kedua-dua pihak kelihatan seolah-olah tidak mahu memperhebatkan pertempuran itu.

"Tiada sesiapa pun ingin (keadaan) bertambah buruk sekarang ini," kata seorang jurucakap tentera Israel.

Sementara itu, seorang pegawai dengan kumpulan militan Palestin memberitahu agensi berita Reuters bahawa mereka bersedia menahan diri seandainya Israel juga mengambil langkah serupa.

Solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis, yang menarik ratusan ribu jemaah tatkala bulan suci Ramadan dan di mana Israel mengerahkan pasukan polis yang besar, berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden besar yang berlaku.

Selain beberapa insiden membaling batu, polis menyatakan keadaan di pekarangan masjid itu secara amnya terkawal.

Pada awal minggu ini, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan memukul para jemaah Palestin, memberkas dan mengheret beratus-ratus daripada mereka keluar dari pekarangan masjid itu, dalam apa yang didakwa pihaknya sebagai usaha untuk mengusir sejumlah perusuh yang berkubu di dalamnya.

Tindakan tersebut, sebaliknya, menerima kecaman daripada dunia Arab.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita