Skip to main content

Dunia

Israel bersiap sedia kerah askar sedang kebimbangan terhadap gencatan senjata Gaza meningkat

Tentera Israel telah mengerahkan pasukan askar kerahan sebagai persediaan untuk menyambung semula pertempuran di Gaza jika Hamas gagal memenuhi tarikh akhir pada Sabtu (15 Feb) untuk membebaskan lebih ramai tebusan dalam gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel bersiap sedia kerah askar sedang kebimbangan terhadap gencatan senjata Gaza meningkat

Dua orang askar Israel di Tebing Barat pada 23 Jan 2025. (Gambar: AP/Majdi Mohammed)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 07:15AM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 07:16AM

BAITULMAKDIS: Tentera Israel telah mengerahkan pasukan askar kerahan sebagai persediaan untuk menyambung semula pertempuran di Gaza jika Hamas gagal memenuhi tarikh akhir pada Sabtu (15 Feb) untuk membebaskan lebih ramai tebusan dalam gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Jan, Hamas bersetuju untuk membebaskan tiga lagi tebusan pada Sabtu (15 Feb). Hamas bagaimanapun menyatakan pada minggu ini bahawa ia menggantung pembebasan tebusan itu atas apa yang didakwanya adalah pelanggaran Israel terhadap syarat-syarat perjanjian gencatan senjata.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjawab dakwaan Hamas itu dengan mengatakan bahawa semua tebusan mesti dibebaskan pada tengah hari Sabtu (15 Feb) atau beliau akan "membiarkan bencana berlaku".

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran pada Selasa (11 Feb) bahawa Israel akan meneruskan "pertempuran sengit" jika Hamas tidak mematuhi tarikh akhir, tetapi tidak menyatakan berapa banyak tebusan yang harus dibebaskan.

Encik Netanyahu berkata beliau telah mengarahkan pihak tentera untuk mengerahkan askar di dalam dan sekitar Gaza, dan tentera Israel mengumumkan tidak lama selepas itu bahawa ia sudah mengerahkan pasukan-pasukan tambahan ke selatan Israel, termasuk menggerakkan pasukan-pasukan simpanan.

Kebuntuan itu mengancam akan mencetuskan semula konflik yang telah memusnahkan Carikan Gaza, mengakibatkan sebahagian besar penduduknya kehilangan tempat tinggal, menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air dan tempat tinggal, dan meletakkan Timur Tengah di ambang perang serantau yang lebih luas.

Para pegawai Israel berkata pemerintah negara itu telah menyokong ancaman Encik Trump untuk "membatalkan" gencatan senjata kecuali semua baki tebusan Israel dibebaskan pada Sabtu ini.

Hamas menegaskan bahawa ia tetap komited dengan perjanjian itu tetapi tidak bersetuju untuk membebaskan tebusan pada Sabtu.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata para pengantara telah meningkatkan campur tangan mereka "untuk mengelakkannya daripada menjadi satu krisis".

Apabila diminta mengulas, seorang lagi pegawai Hamas memberitahu Reuters, tanpa memberikan butiran: "Rundingan sedang dijalankan."

Perang Gaza meletus menyusuli serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Okt 2023, di mana sekurang-kurangnya 1,200 warga Israel terbunuh dan lebih 250 telah ditahan sebagai tebusan di Gaza, menurut penghitungan Israel.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan tentera terhadap Hamas yang telah memusnahkan wilayah tersebut dan membunuh lebih 48,000 rakyat Palestin, menurut para pegawai kesihatan di Gaza.
 

Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita