Israel berkeras tiada gencatan senjata meski tebusan Israel-Amerika sudah dibebaskan
Seorang tebusan warga Israel-Amerika menyeberang ke Israel pada Isnin (12 Mei) selepas dibebaskan oleh Hamas di tengah-tengah pertempuran di Gaza, kata tentera Israel, tetapi tiada perjanjian mengenai gencatan senjata yang lebih meluas atau pembebasan tebusan sedang para pemerhati memberi amaran tentang kebuluran di kawasan yang musnah itu.

Para penyokong berkumpul di Tel Aviv bagi meraikan pembebasan seorang tebusan warga Israel-Amerika dari Gaza. (Gambar: Reuters)
Tentera Israel menyatakan bahawa ia telah menerima Edan Alexander selepas Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memudahkan pemindahannya dengan selamat kepada pihak berkuasa Israel selepas 19 bulan dalam tahanan.
Alexander ialah warga Amerika terakhir yang ditahan oleh Hamas, dan Saluran 12 Israel melaporkan keadaannya "lemah dan tidak bermaya", tanpa menukil sumber.
Stesen televisyen Al Jazeera menunjukkan gambar dia berdiri di sebelah para anggota Hamas dan pegawai Palang Merah. Tidak seperti pembebasan tebusan sebelum ini, dia memakai pakaian orang awam.
Pertempuran dihentikan pada sebelah tengah hari di Gaza selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata bahawa Israel akan menghentikan operasinya untuk membenarkan laluan selamat bagi membebaskan para tebusan.
Hamas menegaskan bahawa ia membebaskan Alexander sebagai tanda muhibah kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang akan melawat wilayah tersebut pada minggu ini.
"Edan Alexander, tebusan Amerika yang disangka mati, akan dibebaskan oleh Hamas. Berita baik!" tulis Encik Trump dengan huruf besar di platform media sosialnya pada awal hari itu.
Encik Netanyahu bagaimanapun mendakwa bahawa pembebasan Alexander adalah hasil tekanan tentera Israel di Gaza dan tekanan politik daripada Encik Trump.
Pemimpin Israel itu berkata beliau telah berbincang dengan Encik Trump pada Isnin (12 Mei) dan Encik Trump telah menyatakan komitmennya kepada Israel, menurut kenyataan Pejabat Encik Netanyahu.
Encik Netanyahu juga menegaskan bahawa tiada gencatan senjata dan rancangan untuk memperhebatkan tindakan ketenteraan di Gaza akan diteruskan.
Para saksi di Carikan Gaza memberitahu Reuters bahawa jet pejuang Israel masih berlegar-legar di ruang udara Gaza dan serangan dron telah disambung semula selepas penyerahan Alexander.
Pembebasan itu diumumkan menyusuli perbincangan empat hala antara Hamas, Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar. Ia diharap akan membuka laluan untuk membebaskan baki 58 tebusan yang masih ditahan di Carikan Gaza, 19 bulan selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023.
Menurut Qatar dan Mesir, pembebasan Alexander adalah satu langkah yang menggalakkan ke arah rundingan gencatan senjata baharu.
Israel akan menghantar delegasinya ke Qatar pada Khamis untuk membincangkan saranan baharu yang bertujuan untuk membebaskan baki tebusan, kata Pejabat Encik Netanyahu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.