Skip to main content

Dunia

Israel beri amaran Lubnan akan ‘terima padah’ di tengah pengeboman berterusan

Israel memberi amaran kepada Lubnan berhubung kesan yang “dahsyat” jika ia tidak mengekang Hezbollah yang disokong Iran pada Sabtu (7 Mac), sementara ia mengebom kubu-kubu kuat kumpulan tersebut di seluruh negara menerusi serangan udara dan sebuah pelancaran serbuan udara maut di bahagian timur.
Anggaran Waktu Membaca:
Israel beri amaran Lubnan akan ‘terima padah’ di tengah pengeboman berterusan
Sebuah kereta melepasi bangunan yang terbakar selepas serangan Israel di pinggir selatan Beirut, menyusuli peningkatan ketegangan antara Hezbollah dan Israel di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, Lubnan, pada 7 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer)
Diterbitkan : 08 Mar 2026 07:31AM
BEIRUT: Israel memberi amaran kepada Lubnan berhubung kesan yang “dahsyat” jika ia tidak mengekang Hezbollah yang disokong Iran pada Sabtu (7 Mac), sementara ia mengebom kubu-kubu kuat kumpulan tersebut di seluruh negara menerusi serangan udara dan sebuah pelancaran serbuan udara maut di bahagian timur.

Lubnan terheret ke dalam perang lebih luas di Timur Tengah pada Isnin apabila Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel, yang kemudian bertindak balas menerusi sebuah kempen ketenteraan baharu yang sudah membunuh hampir 300 orang dan memaksa ratusan ribu rakyat Lubnan meninggalkan rumah mereka.

Di pinggir selatan Beirut, kubu kuat Hezbollah, bangunan-bangunan runtuh menjadi timbunan serpihan yang masih berasap dengan besi yang berpintal-pintal, menurut rakaman Reuters.

Lebih ke timur, di bandar Nabi Chit, pengeboman dahsyat Israel selepas satu serbuan udara yang jarang berlaku meninggalkan kawah-kawah besar di permukaan tanah, menimbus kereta-kereta di bawah timbunan debu dan melontarkan sebuah kenderaan ke atas bumbung sebuah bangunan dua tingkat.

Di Israel pula, semboyan serangan udara yang memberi amaran berhubung peluru berpandu dan dron yang tiba menyebabkan orang ramai bergegas menuju ke tempat perlindungan masing-masing.

SERBUAN UDARA JARANG BERLAKU RAGUT PULUHAN NYAWA

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen berkata pemerintah Lubnan bertanggungjawab menguatkuasakan perjanjian 2024 untuk melucutkan senjata Hezbollah.

“Tanggungjawab anda adalah untuk melucutkan senjata Hezbollah. Jika anda tidak melakukannya, pencerobohan Hezbollah akan membawa kesan yang dahsyat kepada Lubnan. Sudah tiba masanya anda menentukan nasib anda sendiri. Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mempertahankan masyarakat dan rakyat kami,” kata Encik Netanyahu.

Menteri Pertahanan Israel Katz dalam satu kenyataan berasingan berkata pemerintah Lubnan dan seluruh negara itu akan “menerima padah” jika Hezbollah tidak dilucutkan senjata. Israel tidak mempunyai tuntutan wilayah terhadap Lubnan tetapi tidak akan membenarkan serangan rentas sempadan, kata Encik Katz.

Pemerintah Lubnan tahun lalu mengarahkan tenteranya untuk mewujudkan monopoli negara ke atas senjata. Pasukan tentera sudah merampas senjata Hezbollah di beberapa bahagian selatan, namun pegawai kanan Lubnan serta sumber keselamatan menyatakan bahawa usaha untuk meneruskan rancangan itu boleh mencetuskan ketegangan dalaman kerana kumpulan tersebut enggan menyerahkan senjata dengan sepenuhnya.

Seorang pegawai tentera Israel memberitahu Reuters bahawa operasi ketenteraan Israel kini bertindak “untuk menghapuskan ancaman dari Lubnan”.

Pada waktu malam, helikopter Israel menurunkan anggota tentera berhampiran Nabi Chit di Lembah Bekaa di timur Lubnan.

Menurut tentera Israel, pasukan tersebut menjalankan operasi itu bagi mencari sisa Ron Arad, seorang jurunavigasi tentera udara Israel yang hilang di Lubnan sejak 1986, namun tiada penemuan berkaitan dengannya ditemui.

Hezbollah menyatakan, pada waktu malam ia melepaskan tembakan ke arah tentera Israel yang diturunkan berhampiran Nabi Chit dari empat buah helikopter, dan tentera tersebut sudah berundur. Tentera Israel memaklumkan tiada anggotanya yang cedera.

Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan 41 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu dalam serangan Israel di kawasan Nabi Chit. Tentera Lubnan menyatakan tiga anggotanya merupakan antara yang terbunuh.

Serangan Israel sudah membunuh 294 orang dan mencederakan lebih 1,000 yang lain di seluruh Lubnan sejak Isnin, menurut kementerian kesihatan negara tersebut.

DIPLOMAT IRAN TINGGALKAN BEIRUT

Shawki al-Masri, yang tinggal di sebuah bandar berhampiran Nabi Chit, menyifatkan pengeboman semalaman di kawasan itu sebagai “malam yang buruk”.

“Kami mendengar helikopter di atas rumah kami sepanjang malam – ia terbang begitu rendah sehingga kami menyangka ia akan mendarat di atas kami,” kata beliau kepada Reuters.

Arahan berpindah menyebabkan sekitar 300,000 orang meninggalkan rumah mereka, dengan hanya satu pertiga kini tinggal di pusat perlindungan pemerintah. Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan perpindahan tersebut sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini” dalam komennya kepada Reuters pada Jumaat.

Tentera Israel mengeluarkan arahan supaya para penduduk yang tinggal di kawasan luas di selatan Lubnan, beberapa bandar di timur serta seluruh pinggir selatan Beirut untuk meninggalkan rumah mereka. Kawasan-kawasan tersebut meliputi sekitar lapan peratus daripada wilayah Lubnan.

Tentera Israel minggu ini memberi amaran kepada wakil pemerintah Iran yang “masih berada di Lubnan supaya segera meninggalkan negara itu sebelum mereka menjadi sasaran.”

Lebih 150 warga Iran, termasuk diplomat dan keluarga mereka, meninggalkan Lubnan pada Sabtu, menurut seorang sumber keselamatan kanan Lubnan kepada Reuters, sambil menambah bahawa 20 lagi berlepas pada hari sebelumnya.

Kedutaan Iran di Lubnan, sambil merujuk kepada kebimbangan keselamatan, berkata keluarga kakitangan kedutaan Iran, bersama guru dan pelajar sekolah Iran serta sekumpulan warga Iran yang tinggal di Lubnan, sudah meninggalkan Beirut buat sementara waktu.

Hezbollah pula memberi amaran kepada warga Israel yang tinggal di komuniti berhampiran sempadan supaya meninggalkan rumah mereka, namun Israel menyatakan tiada pemindahan akan dilakukan. Banyak komuniti di utara Israel dipindahkan semasa pengeboman rentas sempadan pada 2023–24.

PBB pada Sabtu memberi amaran bahawa konflik itu dijangka menjadi “lebih buruk,” dan rundingan antara Israel dan Lubnan “perlu diteruskan dengan segera” bagi menamatkan permusuhan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita