Israel bedil hospital Gaza, serangan terburuk sejak pilihan raya pada Okt
Orang ramai melihat kerosakan di Hospital Nasser selepas diserang oleh tentera udara Israel pada malam sebelumnya di Khan Yunis, Gaza, pada Khamis, 12 November 2026. (Gambar: AP/Abdel Kareem Hana)
- Israeli attacks in Gaza on Thursday, 12 November, killed 11 people. Six died when an airstrike without warning hit the surgical ward of Nasser Hospital in Khan Younis, and nearly 30 people were injured.
- The Israeli army said the attack targeted Hamas commander Muhammad Abu Ismail and members of the group, who it alleged were using the hospital for military activities, but Abu Ismail’s fate was not confirmed.
- Hamas denied the allegation and condemned the attack, while the Board of Peace expressed regret and called for the peace plan to be implemented. Five more deaths were reported in separate attacks in central and northern Gaza.
- The attacks took place despite a United States-backed ceasefire in place since October 2025 that had reduced the fighting. Both sides accused each other of violating it, and Gaza’s Ministry of Health reported that more than 1,600 Palestinians had been killed since then.
- Serangan Israel di Gaza pada Khamis, 12 November, mengorbankan 11 orang; enam daripadanya maut apabila serangan udara tanpa amaran mengenai wad pembedahan Hospital Nasser di Khan Yunis, dan hampir 30 orang cedera.
- Tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan komander Hamas Muhammad Abu Ismail dan anggota kumpulan tersebut, yang didakwa menggunakan hospital bagi kegiatan ketenteraan, tetapi nasib Abu Ismail tidak disahkan.
- Hamas menafikan dakwaan itu dan mengecam serangan, sementara Lembaga Keamanan menyuarakan kesal serta menggesa pelan damai dilaksanakan; lima lagi kematian dilaporkan dalam serangan berasingan di tengah dan utara Gaza.
- Serangan berlaku walaupun gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat sejak Oktober 2025 mengurangkan pertempuran; kedua-dua pihak saling menuduh melanggarnya, dan Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 1,600 rakyat Palestin terbunuh sejak itu.
KHAN YUNIS: Serangan Israel di Gaza pada Khamis (12 Nov) meragut 11 nyawa, termasuk enam orang yang terbunuh dalam serangan udara ke atas Hospital Nasser di selatan Gaza pada awal pagi, menurut pegawai kesihatan.
Serangan ke atas hospital itu merupakan serangan tunggal paling banyak meragut nyawa sejak pilihan raya Israel bulan lalu.
Tentera Israel mengesahkan serangan tersebut dan berkata pihaknya menyasarkan komander briged Hamas di Khan Yunis, Muhammad Abu Ismail, serta beberapa anggota kumpulan itu yang didakwa bersembunyi di dalam Hospital Nasser.
Hospital yang terletak di bandar Khan Yunis itu mengesahkan enam kematian dalam satu kenyataan.
Seorang doktor di hospital tersebut berkata bangunan yang disasarkan ialah wad pembedahan, manakala hampir 30 orang cedera dalam serangan itu.
Pakar bedah Britain, Goher Rahbour, yang bertugas sebagai sukarelawan di hospital tersebut, memberitahu AFP bahawa seorang doktor Palestin yang melakukan pembedahan bersamanya pada petang Rabu turut terbunuh.
"Saya sedang membaca sesuatu di telefon bimbit apabila serangan berlaku sejurus selepas tengah malam.
"Bunyi letupannya sangat kuat dan semuanya berlaku dengan pantas. Bangunan bergegar dan asap tebal mula memenuhi kawasan itu," katanya kepada AFP.
Tentera Israel mendakwa Abu Ismail bertanggungjawab mengarahkan serangan terhadap orang awam Israel dan anggota tentera Israel, selain menahan ramai tebusan sepanjang perang.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak mengesahkan sama ada beliau terbunuh dalam serangan tersebut.
Namanya juga tidak tersenarai dalam senarai mangsa yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat pertahanan awam Gaza.
Tentera Israel turut mendakwa Hamas menggunakan hospital itu sebagai pusat arahan dan kawalan, tempat menyimpan senjata serta menjalankan soal siasat dan penyeksaan.
Namun, Hamas menafikan menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan ketenteraan dan menuduh Israel mengemukakan "dakwaan palsu" untuk menghalalkan serangan udaranya.
Sementara itu, pasukan pertahanan awam Gaza melaporkan lima lagi kematian dalam serangan berasingan pada Khamis.
Seorang individu terbunuh akibat tembakan Israel berhampiran kem pelarian Al-Bureij, manakala seorang lagi maut dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran Deir al-Balah, kedua-duanya di tengah Gaza.
Dua lagi individu terbunuh dalam serangan Israel terhadap sebuah kenderaan berhampiran Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, manakala seorang lagi maut dalam serangan dron di Jabalia, utara Gaza.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban pada Khamis seramai 11 orang.
Tentera Israel berkata pihaknya menyerang seorang anggota kumpulan bersenjata di Deir al-Balah dan seorang lagi di Bandar Gaza.
Bagaimanapun, tentera itu menafikan serangan kedua berlaku berhampiran Hospital Al-Shifa.
Israel kini ditadbir oleh kerajaan sementara di bawah Benjamin Netanyahu selepas pilihan raya bulan lalu gagal menghasilkan keputusan yang jelas.
Ketua blok pembangkang, Gadi Eisenkot, secara rasmi telah diberikan tanggungjawab untuk membentuk pemerintah baharu.
Encik Netanyahu, yang pernah memegang kuasa selama hampir 20 tahun secara berselang-seli dan memimpin Israel sepanjang perang di Gaza, sering menekankan ancaman keselamatan terhadap negaranya ketika kempen pilihan raya.
Sejak pilihan raya itu, beliau turut menggesa pembentukan sebuah pemerintah perpaduan.
SERANGAN TANPA AMARAN AWAL
Seorang wartawan AFP di lokasi serangan Hospital Nasser melaporkan sebahagian tangga di luar bangunan runtuh, manakala satu tingkat di dalam bangunan mengalami kerosakan teruk.
Serpihan konkrit daripada dinding yang runtuh bertaburan bersama peralatan perubatan yang musnah.
"Bangunan pembedahan dibom oleh pesawat F-16 tanpa sebarang amaran awal, menyebabkan ramai pesakit cedera dan sejumlah besar pesakit serta doktor terbunuh," kata anggota paramedik, Ezzedin Abu Sabha, kepada AFP.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perang.
Beliau turut menyalahkan Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat, yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan pelan gencatan senjata Gaza sejak Oktober 2025, kerana gagal menghalang serangan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Lembaga Keamanan melahirkan rasa kesal atas kehilangan nyawa dalam kejadian itu dan menggesa supaya pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaksanakan dengan segera.
"Jika tidak, kita akan terus menyaksikan tragedi apabila Hamas mendakwa Israel sengaja menyerang hospital, manakala Israel menegaskan Hamas menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk menjalankan kegiatan keganasan.
"Akhirnya, penduduk Gaza yang tidak bersalah menjadi mangsa," menurut kenyataan itu.
Israel sudah beberapa kali menyerang Hospital Nasser sejak perang tercetus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Pada Ogos 2025, serangan Israel ke atas hospital tersebut meragut 20 nyawa dalam satu hari, termasuk lima wartawan, menurut pasukan pertahanan awam Gaza.
Walaupun perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat pada Oktober 2025 berjaya mengurangkan pertempuran dengan ketara, Israel masih melancarkan serangan secara berkala di wilayah itu.
Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, lebih 1,600 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula.
Angka yang dikeluarkan kementerian itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam tempoh yang sama, tentera Israel melaporkan tujuh anggotanya serta seorang kontraktor awam terbunuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.