Skip to main content

Dunia

Israel bedil 6 bangunan di Beirut; sasar serangan ke atas ketua Hezbollah

Anggaran Waktu Membaca:
BEIRUT: Hanya selama beberapa saat sahaja, serangan tentera Israel telah menyebabkan enam bangunan runtuh di kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut pada Jumaat (27 Sep), menyebabkan pasukan penyelamat bergegas ke kawasan perumahan yang padat untuk mencari mangsa-mangsa yang terselamat.

Serangan bertubi-tubi itu menggegarkan Beirut dan kawasan-kawasan di sekitarnya sebelum pukul 6.30 petang waktu tempatan, menyebabkan para penduduk bergegas melarikan diri.

“Saya rasa seperti bangunan itu akan runtuh di atas kepala saya, seolah-olah serangan roket itu akan membunuh saya,” kata Abeer Hammoud, yang tinggal di pinggir bandar di selatan Beirut.

"Apabila selesai, saya menarik nafas lega. Seolah-olah telah diberi nafas baharu," kata guru berusia 40-an tahun itu yang masih dalam keadaan terkejut.

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 76 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan berdasarkan perangkaan awal.

Rakaman AFP menunjukkan beberapa kepulan asap tebal dari kawasan Haret Hreik di bahagian selatan bandar tersebut.

Hammoud berkata, serangan itu mengingatkannya kepada perang besar terakhir Hezbollah dengan Israel pada 2006, apabila pinggir bandar di selatan Beirut diserang hebat.

Tentera Israel mendakwa bahawa serangan itu menyasarkan "ibu pejabat" Hezbollah, yang menurut media Israel menyasarkan ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah - dengan serangan itu mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Lubnan yang bimbang akan peningkatan yang lebih meluas selepas hampir setahun kedua-dua Israel dan Hezbollah saling berbalas tembakan setiap hari.

Sumber yang rapat dengan Hezbollah memberitahu AFP bahawa Nasrallah dalam keadaan "baik", tetapi kumpulan itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita