Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel bantah buka konsulat AS bagi Palestin di Baitulmakdis; saran ditempatkan di Tebing Barat

Selepas Presiden AS Joe Biden memasuki Rumah Putih, beliau membuat beberapa langkah untuk memperbaiki hubungan dengan Palestin, antaranya membuka semula pejabat konsulat di Baitulmakdis bagi rakyat Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel bantah buka konsulat AS bagi Palestin di Baitulmakdis; saran ditempatkan di Tebing Barat

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 07 Nov 2021 04:46PM Dikemas Kini : 07 Nov 2021 04:49PM

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett membantah pembukaan semula pejabat konsulat Amerika Syarikat (AS) bagi rakyat Palestin di Baitulmakdis.

"Pendirian saya, dan ia sudah dibentangkan kepada pihak Amerika ialah ...tiada ruang untuk konsulat AS bagi Palestin di Baitulmakdis," katanya kepada wartawan sehari selepas Parlimen Israel meluluskan Belanjawan 2022, lapor Reuters.

Menteri Luar Yair Lapid, yang berucap di samping PM Bennet menyarankan konsulat itu dibuka di Tebing Barat yang ditaklukinya.

"Jika mereka (Amerika Syarikat) mahu membuka konsulat di Ramallah, kami tidak ada masalah dengan hal itu," katanya.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, pada taklimat berita pada Rabu lalu, berkata AS 'sangat jelas' mengenai hasratnya membuka semula pejabat konsulat untuk rakyat Palestin.

Di Ramallah, jurucakap bagi Presiden Palestin Mahmoud Abbas menolak kenyataan Encik Lapid.

"Kami akan hanya menerima sebuah konsulat AS di Baitulmakdis, ibu kota negara Palestin. Itu yang dikatakan pentadbiran AS dan komitmen yang dibuatnya," kata Nabil Abu Rudeinel kepada Reuters.

Jurucakap bagi Kedutaan Amerika tidak segera memberikan kenyataan.

AS mempunyai dua konsulat di Baitulmakdis, masing-masing bagi Palestin dan Israel, sehingga 2018.

Kedua-dua konsulat itu digabungkan dan ditempatkan di sebuah kedutaan baru, selepas bekas Presiden AS, Donald Trump 'mengiktiraf bandar itu sebagai ibu kota Israel'.

Hubungan antara AS dan Palestin semakin buruk ketika pentadbiran Trump.

Selepas Presiden AS Joe Biden memasuki Rumah Putih, beliau membuat beberapa langkah untuk memperbaiki hubungan dengan Palestin, antaranya ialah keputusan untuk membuka semula pejabat konsulat di Baitulmakdis bagi rakyat Palestin.

Baitulmakdis menempatkan tapak suci kepada agama Yahudi, Islam dan Kristian, adalah subjek paling sensitif dalam konflik Palestin-Israel yang sudah berdekad lamanya. 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan