Skip to main content

Dunia

Israel arah penduduk pindah lagi selepas serang sekolah dan ragut 100 nyawa

Anggaran Waktu Membaca:
CARIKAN GAZA: Israel meluaskan arahan pemindahan di Khan Younis, selatan Carikan Gaza, semalaman, sekali gus memaksa puluhan ribu penduduk Palestin dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal untuk berpindah di waktu malam, sedang kereta kebal tentera Israel terus menerus membedil kawasan itu.

Tentera Israel menyatakan pihaknya sedang menyerang anggota Hamas, yang menggunakan kawasan tersebut untuk melancarkan serangan dan tembakan roket.

Pada Sabtu (10 Ogos), serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Bandar Gaza membunuh sekurang-kurangnya 90 orang, dedah pasukan pertahanan awam Gaza, yang mencetuskan bantahan antarabangsa.

Menurut tentera Israel, ia menyerang sebuah pusat operasi kumpulan Hamas dan Jihad Islam. Ini dakwaan yang dinafikan kedua-dua kumpulan. Serangan tersebut meragut nyawa 19 anggota.
Di Khan Younis, arahan pemindahan merangkumi bahagian tengah, timur dan barat bandar itu, menjadikannya salah satu pemindahan terbesar dalam konflik yang sudah berlarutan selama 10 bulan.

Ia berlaku dua hari selepas kereta kebal tentera Israel kembali ke timur bandar tersebut.

Pengumuman itu dimuat naik melalui catatan di X dan mesej audio dihantar ke telefon penduduk Khan Younis: "Untuk keselamatan anda, anda perlu berpindah dengan segera ke zon kemanusiaan baharu. Kawasan di mana anda berada sekarang dianggap sebagai zon pertempuran berbahaya."

Tentera Israel menyatakan ia menyerang kira-kira 30 sasaran tentera Hamas dalam tempoh 24 jam, termasuk prasarana ketenteraan, prasarana pelancaran peluru berpandu antikereta kebal dan tempat menyimpan senjata.

PULUHAN RIBU PENDUDUK TERPAKSA PINDAH PADA WAKTU MALAM

Penduduk Palestin dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata tiada kawasan yang selamat di Carikan Gaza. Kawasan ditetapkan sebagai zon kemanusiaan seperti Al-Mawasi di barat Khan Younis, di mana penduduk dihantar, pernah dibom beberapa kali oleh tentera Israel.

Puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah dan tempat perlindungan pada tengah malam, dan menuju ke Al-Mawasi di barat dan Deir Al-Balah di utara, yang sudah dipenuhi dengan ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kira-kira 40,000 rakyat Palestin dibunuh Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita