Skip to main content

Dunia

Israel arah lebih ramai penduduk pindah dari selatan Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
BEIRUT: Tentera Israel pada Sabtu (12 Okt) mengarahkan para penduduk dari 23 kawasan di selatan Lubnan untuk berpindah ke utara Sungai Awali, yang mengalir dari Lembah Bekaa barat ke Laut Mediterranean.

Arahan yang disampaikan menerusi kenyataan tentera itu, menyebut tentang bagaimana beberapa kawasan perkampungan di selatan Lubnan, yang kebanyakannya sudah dikosongkan, menjadi sasaran serangan Israel.

Tentera Israel menjelaskan bahawa pemindahan tersebut perlu dijalankan demi menjamin keselamatan para penduduk, sedang Hezbollah memperhebat kempen kumpulannya.

Tentera Israel percaya Hezbollah menggunakan tapak-tapak berkenaan untuk menyembunyikan bekalan senjata, lalu melancarkan serangan ke atas Israel.

Hezbollah bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa mereka menyembunyikan bekalan senjata dalam kalangan orang awam.

Menurut satu kenyataan pada Sabtu, seorang anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, UNIFIL, juga terkena tembakan pada Jumaat.

Mujur, lelaki terbabit kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru, tambah UNIFIL.

Kenyataan tersebut juga menyatakan bandar Ramyah di selatan Lubnan mengalami kerosakan yang ketara akibat letupan daripada pengeboman yang berlaku tidak jauh dari kawasan itu.

UNIFIL bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab ke atas kedua-dua serangan berkenaan.

Dua anggota pengaman PBB cedera berikutan serangan Israel berdekatan dengan menara pemerhati mereka di selatan Lubnan pada Jumaat, sekali gus mengundang kecaman daripada beberapa negara mahupun pelbagai pertubuhan dari merata dunia.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita