Skip to main content

Dunia

Israel akan perhebat bedilan ke atas Gaza; beberapa jam selepas konvoi bantuan kecemasan dibenarkan masuk

Anggaran Waktu Membaca:
Israel akan perhebat bedilan ke atas Gaza; beberapa jam selepas konvoi bantuan kecemasan dibenarkan masuk

(Gambar: AFP/Aris Messinis)

Diterbitkan : 22 Oct 2023 11:17AM
RAFAH: Tentera Israel mengumumkan ia akan memperhebatkan pengeboman ke atas Gaza yang dikuasai Hamas pada Sabtu (21 Okt), hanya beberapa jam selepas trak bantuan kecemasan tiba dari Mesir membawa bantuan yang sangat diperlukan kepada orang awam di kawasan-kawasan yang dilanda perang.
Menurut tentera Israel, ia bertujuan untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi tenteranya apabila para askar memasuki Gaza dalam fasa seterusnya peperangan yang dilancarkan ke atas Hamas selepas kumpulan itu melancarkan serangan paling berdarah dalam sejarah Israel pada 7 Okt.

Berpuluh-puluh ribu askar Israel dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang bakal dilancarkan, yang menurut para pegawai, akan bermula "tidak lama lagi".

“Mulai hari ini, kami memperhebatkan serangan dan meminimumkan bahaya,” kata jurucakap tentera Laksamana Daniel Hagari kepada para wartawan pada Sabtu (21 Okt).

"Kami perlu memasuki fasa perang seterusnya dalam keadaan terbaik, bukan mengikut apa yang diberitahu oleh sesiapa pun."

Semasa lawatan ke briged infantri barisan penggempur, ketua turus Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata tentera Israel sudah bersedia menangani sebarang kejutan Hamas di Gaza.

LEBIH BANYAK BANTUAN DIPERLUKAN

Menurut para wartawan AFP, sebanyak 20 trak dari Bulan Sabit Merah Mesir melalui Lintasan Rafah dari Mesir ke Gaza pada Sabtu.

Menurut ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, 20 trak dengan bekalan kecemasan masih belum cukup untuk menampung keperluan para penduduk Gaza, ketika memberitahu sidang puncak keamanan di Mesir bahawa "lebih banyak" bantuan perlu dihantar.
Jurucakap Hamas berkata "berpuluh-puluh" konvoi sedemikian masih belum dapat memenuhi keperluan Gaza. Ini kerana tiada bahan api dibenarkan masuk untuk membantu mengagihkan bekalan kepada mereka yang memerlukan.

Lebih sejuta penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah mereka di utara Gaza menjelang serangan darat Israel yang bakal dilancarkan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita