Skip to main content

Dunia

Israel akan hantar delegasi ke Qatar bagi rundingan gencatan senjata Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Israel akan hantar delegasi ke Qatar bagi rundingan gencatan senjata Gaza

Bendera Amerika dan mesej "kebebasan untuk semua," oleh warga Israel di pantai Tel Aviv pada 4 Jul 2025. (Gambar: AP/Oded Balilty)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 07:35AM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 07:36AM
BAITULMAKDIS: Israel memutuskan untuk menghantar delegasi ke Qatar bagi mengadakan perbincangan mengenai tebusan dan perjanjian gencatan senjata, kata seorang pegawai Israel, yang menghidupkan semula harapan dalam rundingan untuk menamatkan perang selama hampir 21 bulan.

Hamas menyatakan pada Jumaat (4 Jul) bahawa ia telah memberikan respons kepada gencatan senjata Gaza yang disokong oleh Amerika dalam "semangat positif", beberapa hari selepas Presiden Donald Trump berkata Israel telah bersetuju "dengan syarat-syarat yang diperlukan untuk memuktamadkan" gencatan senjata selama 60 hari.

Delegasi rundingan Israel akan terbang ke Qatar pada Ahad (6 Jul), menurut pegawai Israel, yang enggan namanya didedahkan disebabkan oleh sensitiviti perkara itu semasa memberitahu Reuters.

Tetapi sebagai tanda bahawa cabaran masih dihadapi oleh kedua-dua pihak, seorang pegawai Palestin dari kumpulan yang bersekutu dengan Hamas berkata kebimbangan masih dibangkitkan terhadap bantuan kemanusiaan, laluan melalui Lintasan Rafah di selatan Israel ke Mesir dan kejelasan mengenai jadual pengunduran tentera Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang dijadualkan bertemu Encik Trump di Washington pada Isnin (7 Jul), masih belum mengulas mengenai pengumuman Encik Trump.

Encik Netanyahu telah berulang kali berkata Hamas mesti melucutkan senjata, dengan Hamas pula enggan berbincang mengenai pelucutan senjata tersebut.

Media Israel melaporkan pada Jumaat (4 Jul) bahawa Israel telah menerima dan sedang mengkaji maklum balas Hamas terhadap saranan gencatan senjata itu.

Pertumpahan darah terbaharu dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya dicetuskan pada 7 Okt 2023, apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menjadikan 251 orang sebagai tebusan, menurut pengiraan Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa serangan balas tentera Israel telah mengorbankan lebih 57,000 rakyat Palestin. Ia juga telah menyebabkan krisis kelaparan, menyebabkan seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan mendorong tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang, dengan Israel menafikan tuduhan tersebut.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita