Israel akan cuba sekali lagi bunuh pemimpin Hamas jika mereka terselamat dalam serangan Qatar
Gambar yang diambil dari jarak jauh menunjukkan sebuah bangunan yang rosak, di kawasan yang menempatkan pegawai Hamas, di ibu kota Qatar, Doha pada 10 Sep 2025, sehari selepas serangan Israel. (Gambar: AFP)
"Pada masa ini, kita mungkin menghadapi sedikit kecaman. Mereka akan melupakannya. Dan Israel diubah menjadi lebih lebih baik," kata Yechiel Leiter dalam program 'Special Report' terbitan Fox News pada lewat Selasa.
Israel cuba membunuh pemimpin-pemimpin polik Hamas dalam serangan ke atas ibu kota Doha, Qatar pada Selasa, memperhebatkan tindakan tenteranya di Timur Tengah dalam apa yang Amerika Syarikat sifatkan sebagai serangan unilateral yang tidak memajukan kepentingan Amerika dan Israel.
Serangan udara itu berlaku tidak lama selepas Hamas mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tembakan pada Isnin yang mengorbankan enam orang di sebuah perhentian bas di pinggir Baitulmakdis.
Operasi ketenteraan di Doha yang dikecam secara meluas itu amat sensitif kerana Qatar sedang menganjurkan dan berperanan sebagai pengantara dalam rundingan yang bertujuan mencapai gencatan senjata dalam perang Gaza.
"Jika kami tidak berjaya membunuh mereka kali ini, kami pasti akan dapat membunuh mereka dalam percubaan seterusnya," kata Encik Leiter.
ANAK LELAKI PEMIMPIN HAMAS TERBUNUH
Hamas menyatakan lima anggota terbunuh dalam serangan itu, termasuk anak lelaki kepada pemimpin Gaza yang dalam buangan serta perunding kanan Khalil al-Hayya.
Ia menyatakan kesemua pemimpin utamanya terselamat.
Qatar, yang menyatakan salah seorang pengawal keselamatannya terbunuh dalam serangan itu, menyatakan Israel bersifat khianat dan melakukan "keganasan negara."
Serangan itu mencetuskan aktiviti diplomasi yang rancak antara negara-negara Arab.
Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan tiba di Qatar pada Rabu, lapor agensi berita negara UAE WAM.
Putera Mahkota Jordan Al Hussein Bin Abdullah II juga dijangka melakukan lawatan ke Qatar pada Rabu, manakala Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman dijangka tiba di Doha pada Khamis, menurut seorang pegawai yang rapat dengan perkara itu kepada Reuters.
Lawatan itu sebagai lambang perpaduan serantau dengan Qatar menyusuli serangan Israel, menurut pegawai berkenaaan.
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah akan mengusulkan langkah sekatan terhadap menteri-menteri Israel yang bersifat pelampau dan menggantung langkah-langkah berkaitan perdagangan dalam satu perjanjian Kesatuan Eropah (EU) dengan Israel, kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
Cadangan-cadangan tersebut mencerminkan kritikan EU yang semakin meningkat terhadap cara Israel mengendalikan perang Gaza dan tekanan yang semakin meningkat terhadap badan eksekutif blok itu untuk mengambil tindakan.
Serangan udara Doha itu berlaku selepas Israel memberi amaran kepada rakyat Palestin supaya meninggalkan Gaza City, kawasan yang pernah menjadi tempat tinggal sekitar sejuta orang, sedang ia terus cuba memusnahkan Hamas.
KESAN TERHADAP RUNDINGAN GENCATAN SENJATA TIDAK JELAS
Apabila ditanya bagaimana serangan itu akan mempengaruhi rundingan gencatan senjata, Duta Amerika ke Israel Mike Huckabee memberitahu Reuters: "Jawapan yang jujur adalah kami tidak tahu. Hamas telah menolak segala-galanya setakat ini. Mereka terus menolak setiap tawaran yang dibentangkan."
Hamas, yang memerintah Gaza selama hampir dua dekad tetapi kini hanya mengawal sebahagian daripada kawasan tersebut, pada Sabtu sekali lagi menyatakan bahawa mereka akan membebaskan semua tebusan jika Israel bersetuju untuk menamatkan perang dan menarik balik tenteranya dari Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendesak bagisatu perjanjian menyeluruh yang menuntut agar semua tebusan dibebaskan sekali gus dan Hamas menyerah diri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.