Skip to main content

Dunia

Ismail Sabri tidak mahu dahului kuasa Agong dalam mengumumkan tarikh PRU-15

Anggaran Waktu Membaca:
 Ismail Sabri tidak mahu dahului kuasa Agong dalam mengumumkan tarikh PRU-15

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jun 2022 03:26PM Dikemas Kini : 05 Jun 2022 07:53PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak mahu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan mengumumkan terlebih dahulu tarikh Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri menegaskan, walaupun keputusan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara beliau, kata putus terakhir mengenainya masih di tangan Agong.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang membuat desakan mengenai tempoh pelaksanaan PRU-15 seolah-olah tidak menghormati peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, seperti dinukil daripada BH Online. 

"Pelaksanaan PRU akan dibincangkan dengan lima pimpinan tertinggi UMNO, dibawa ke Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), sebelum bincangkan di dalam Kabinet," kata beliau. 

"Kabinet (kemudian) akan berikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda, namun kuasa terakhir adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau kepada media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di Kuala Lumpur, hari ini (5 Jun). 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menyifatkan Perdana Menteri menyampaikan mesej 'flip-flop' berkenaan pelaksanaan PRU-15, lapor BH Online. 

Encik Loke mempersoalkan kenyataan Ismail Sabri dalam wawancara dengan media Jepun, yang mengatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani, namun Perdana Menteri mengubah nada dalam Konvensyen BN apabila menegaskan tidak akan menunggu lebih satu saat untuk membubarkan Parlimen jika BN sudah bersedia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bersetuju atau menolak nasihat pembubaran jika beliau tidak bersetuju.

"Saya tidak boleh nyatakan tarikh sebenar kerana itu mengambil alih kuasa baginda.

"Itu salah dari segi Perlembagaan kalau saya tetapkan tarikh kerana kuasa adalah pada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil dan membubarkan Parlimen.

"Sikap DAP mungkin mereka tidak hormat Yang di-Pertuan Agong, tapi saya menghormati baginda dan saya patuh pada Perlembagaan," kata beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan bukan perkara pelik apabila beliau tidak mengumumkan tarikh PRU secara terperinci, memandangkan ia amalan kebiasaan mana-mana Perdana Menteri termasuk ketika Dr Mahathir Mohamad mengetuai pentadbiran Pakatan Harapan (PH), lapor BH Online.

"Cuba kamu semak kenyataan Perdana Menteri terdahulu, ada atau tidak yang menetapkan tarikh PRU. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu, beliau kata belum dapat ilham.

"Kalau saya beritahu lebih awal, seronoklah DAP. Mereka boleh bersiap sedia lebih awal," kata beliau berseloroh sebelum menegaskan belum tahu bila PRU-15 akan dilaksanakan.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita