Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri tekankan kerajaan tidak peluk tubuh tangani isu kos sara hidup

Kerajaan Malaysia tidak berpeluk tubuh dalam menangani isu kos sara hidup, sebaliknya melaksanakan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menangani cabaran itu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ismail Sabri tekankan kerajaan tidak peluk tubuh tangani isu kos sara hidup

PM Ismail Sabri Yaakob di perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) 2022 kali ke-42pada 2 Jun 2022. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak berpeluk tubuh dalam menangani isu kos sara hidup, sebaliknya melaksanakan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menangani cabaran itu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata ia termasuk pemberian subsidi kepada rakyat sebanyak RM70 bilion (S$22 bilion) pada tahun ini bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan situasi yang dihadapi dunia ketika ini. 

“Mengenai kos sara hidup, saya nak terangkan, ia bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia kerana Malaysia bukan dalam planet lain, kita saling berhubung dan mempunyai kaitan dengan negara lain.

“Contoh, ayam adalah isu paling sensitif. Kita dapatkan bahan makanan ayam dari luar negara kerana kita bukan pengeluar jagung dan kacang soya. Ini menyebabkan berlakunya peningkatan harga barang,” katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) 2022 kali ke-42 hari ini (2 Jun).

Menurut Perdana Menteri itu, kadar inflasi negara masih dianggap rendah pada dua peratus berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat (sembilan peratus), negara-negara Eropah (antara lapan hingga 10 peratus) dan United Kingdom (12 peratus).

"Inflasi (Malaysia) rendah kerana kita (kerajaan) beri subsidi untuk pastikan harga (barang) tidak naik...kalau tak ada subsidi, inflasi kita naik mungkin sampai lapan hingga 11 peratus.

"Untuk memastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan tanggung subsidi walaupun sebenarnya ada beberapa produk tidak memerlukan subsidi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri juga mencadangankan kepada MTUC untuk mewujudkan pasukan sukarelawan pengguna untuk memantau dan melaporkan isu berkaitan harga barang kepada kerajaan.

Menurutnya, usaha itu akan membantu kerajaan mendapatkan input daripada rakyat selain dapat mengurangkan gejala penyelewengan barangan subsidi.

"Kerajaan sedia mendengar cadangan membina dari semua pihak kerana kerajaan tidak tahu semua perkara dan perlukan maklum balas dari rakyat," katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan