Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri peroleh injunksi hingga kes saman ahli UMNO Lokman Adam selesai

Anggaran Waktu Membaca:
Ismail Sabri peroleh injunksi hingga kes saman ahli UMNO Lokman Adam selesai

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis (5 Jan) membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dalam kes saman fitnah beliau terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas peguam kedua-dua pihak merekodkan persetujuan berhubung perintah itu yang berkuat kuasa sehingga kes tersebut dilupuskan.

"Perintah persetujuan direkodkan seperti (dalam) terma-terma dan draf. Mahkamah menetapkan 6 Mac ini untuk pengurusan kes," katanya.

Sebelum ini, peguam Joshua Tan yang mewakili Encik Ismail Sabri memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan perintah injunksi inter-parte itu dan perkara tersebut disahkan oleh peguam Mohd Faiz Abd Rahim yang mewakili Encik Lokman.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam enggan mendedahkan terma yang dinyatakan dalam draf persetujuan kepada pemberita.

Pada 12 September tahun lalu, Encik Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Encik Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah beliau di akaun media sosial.

Pada 8 September tahun lepas, Encik Ismail Sabri, 62 tahun, yang juga Ahli Parlimen Bera selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi beliau dan menamakan Encik Lokman, 49 tahun, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Encik Ismail Sabri mendakwa Encik Lokman pada 22 Ogos tahun lalu sudah membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk 'Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir - Lokman Adam.'

Beliau berkata kenyataan itu yang berniat jahat, berunsur fitnah dan tidak benar telah dimuat naik ke empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube 'Lokman Adam,' Facebook 'Lokman Noor Adam Official,' Instagram 'lokmannooradam' dan TikTok 'datoklokmanadam.'

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan mantan Perdana Menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati UMNO.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan