Ismail Sabri nafi campur tangan kes mahkamah Najib
(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Selasa (23 Ogos) menafikan terdapat desakan yang beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Encik Najib Razak.
"Tiada...tiada," katanya ketika ditanya laporan sebuah media yang mengatakan ada perjumpaan khas melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO pada Isnin (22 Ogos), yang gagal mencapai kata sepakat bagi mendesak beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas perdana menteri itu.
Beliau yang ditemui media selepas berucap di majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pada Selasa (23 Ogos) turut ditanya mengenai ‘perjumpaan’ di Seri Perdana.
Encik Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO berkata dalam perjumpaan itu, beliau diberikan taklimat mengenai status gerak kerja parti seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan menerusi kenyataan di Perak.
"Timbalan Presiden sebut mengenai mesyuarat UMNO bahagian, persediaan parti ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mengukuhkan parti," katanya.
Mengenai laporan desakan ketua-ketua bahagian UMNO meminta PRU15 diadakan segera, Encik Ismail Sabri berkata beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak hadir pada pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur pada Isnin (22 Ogos).
Laporan media memetik Ketua UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos sebagai berkata majoriti ketua bahagian UMNO bersetuju supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.