Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri isytihar 3 Dis Hari Batik Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ismail Sabri isytihar 3 Dis Hari Batik Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 10:02PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 10:06PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Dalam ucapan khas disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan media sosial malam ini ( 1 Dis), beliau berkata kerajaan berharap dengan mengisytiharkan hari tersebut ia dapat menggalakkan seluruh rakyat termasuk pihak swasta dan semua masyarakat berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.

Katanya, usaha berkenaan bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia di mana seluruh rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

“Saya percaya perisytiharan hari tersebut juga dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran batik negara,” katanya.

Jelas Encik Ismail Sabri pemilihan tarikh itu yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 26 Nov lepas adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarhamah Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Abdullah Badawi.

Perdana Menteri itu berkata pada tarikh sama pada tahun 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa. 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) atas usaha jitu dalam merealisasikan hari bersejarah tersebut.

“Saya amat gembira menyaksikan usaha MOTAC melalui Kraftangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga telah tetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia termasuk di Parlimen.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan