Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri gesa Vietnam segera hurai isu pencerobohan nelayan

Anggaran Waktu Membaca:

HANOI: Malaysia meminta Vietnam mengambil tindakan konkrit dengan segera supaya insiden pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat diselesaikan.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata isu berkenaan semakin membimbangkan kerana sejak kebelakangan ini nelayan Vietnam bukan sahaja menceroboh, malah ada yang bertindak agresif dan provokatif terhadap penguat kuasa maritim dan nelayan Malaysia dalam perairan negara itu.

“Jika dibiarkan ia mungkin boleh mencetuskan isu yang lebih besar, ini berkait rapat dengan isu dan aktiviti perikanan IUU (Illegal, Unregulated and Unreported Fishing -perikanan yang melanggar undang-undang, tidak dikawal selia, tidak dilaporkan) dalam perairan Malaysia,” kata beliau kepada kumpulan media Malaysia di Hanoi hari ini (22 Mac) selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam, semalam (21 Mac).

“Aktiviti sedemikian bukan sahaja menjejaskan aktiviti-aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan Malaysia tetapi provokasi ini membimbangkan. Oleh itu saya sudah meminta Perdana Menteri Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit yang segera untuk menghentikan tindakan pencerobohan,” tambah beliau.

Katanya lagi, beliau berharap pemerintah Vietnam atas dasar persahabatan dengan Malaysia, akan mengambil tindakan segera supaya tindakan pencerobohan nelayan dapat diselesaikan.

Ismail Sabri berkata isu itu bukanlah perkara baru dan beliau sendiri pernah ke Vietnam sebelum ini bagi membincangkan perkara berkenaan semasa menjadi Menteri Pertanian.

Berhubung lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, Perdana Menteri berkata dalam lawatan itu beliau turut bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan dalam isu ini, kedua-dua negara perlu mengambil sikap berkecuali.

Ismail Sabri berkata, Malaysia tegas menyatakan tidak akan berkompromi dari segi pencerobohan negara lain ke atas negara berdaulat yang lain.

“Kita tidak akan menyokong pencerobohan seperti ini, sekalipun pendirian kita tidak campur tangan. Kita mahu supaya isu yang berlaku di Ukraine dapat diselesaikan dengan cara diplomatik,” kata beliau.

“Mengenai sekatan yang dilakukan terhadap Rusia, kita menyatakan pendirian bahawa kita tidak menyokong sekatan yang dilakukan secara bersendirian, unilateral, kita hanya mengiktiraf sekatan jika ia diputuskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tambah beliau.

Ismail Sabri berkata Malaysia dan Vietnam juga sudah mengeluarkan satu kenyataan media bersama yang memaklumkan tentang hasil perbincangan antara Malaysia dan Vietnam.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada Vietnam sebagai hos Sukan SEA yang akan diadakan pada bulan Mei ini,” kata beliau.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan