Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri fail saman fitnah terhadap ahli UMNO Lokman Adam

Anggaran Waktu Membaca:
Ismail Sabri fail saman fitnah terhadap ahli UMNO Lokman Adam

Lokman Noor Adam. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

Encik Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 Sep lepas, dengan menamakan Encik Lokman, 49 tahun, yang merupakan ahli UMNO selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Encik Ismail Sabri, 62 tahun, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk "Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir - Lokman Adam".

Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube "Lokman Adam", Facebook "Lokman Noor Adam Official", Instagram "lokmannooradam" dan TikTok "datoklokmanadam".

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif sudah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Encik Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Menurut Encik Ismail, beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum untuk kekal sebagai perdana menteri.

Plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mencampur tangan prosiding undang-undang terhadap Najib Razak bagi memastikan bekas perdana menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.

Menurutnya akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli UMNO, Naib Presiden UMNO dan perdana menteri terjejas, membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat.

Ahli Parlimen Bera itu berkata bahawa satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Encik Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman Noor Adam dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah Perdana Menteri di akaun media sosial. Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Naib Presiden UMNO itu selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan