Ismail Sabri bincang dengan pemimpin ASEAN guna Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.
Encik Ismail Sabri berkata selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Jadi tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
“Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin-pemimpin ASEAN lain yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini (23 Mac).
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Zurainah Musa yang ingin tahu adakah kerajaan akan bekerjasama dengan pemimpin negara ASEAN untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN.
Mengulas lanjut, Encik Ismail Sabri berkata pada masa ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lain menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.
Encik Ismail Sabri berkata beliau sendiri menggunakan Bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja serta Thailand sebelum ini dan terbaru, semasa lawatan ke Vietnam dua hari lalu (21 Mac).
“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember lalu.
“Usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.