Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ismail Sabri beri jaminan hak Sabah, Sarawak dalam Peranjian M'sia 1963 terpelihara

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak, sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terpelihara.

Anggaran Waktu Membaca:
Ismail Sabri beri jaminan hak Sabah, Sarawak dalam Peranjian M'sia 1963 terpelihara

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap semasa sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan A' Famosa Banda Hilir di Melaka pada 16 September 2022. (Gambar: BERNAMA)

MELAKA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak, sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terpelihara.

Encik Ismail Sabri, yang juga Pengerusi Majlis Khas Mengenai MA63, berkata majlis khas itu bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak tetapi memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangunkan dan memajukan kedua-dua negeri itu.

“Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak. Umpama peribahasa, bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion (S$1.6 bilion) untuk Sabah, manakala RM4 bilion (S$1.1 bilion) untuk Sarawak pada tahun ini, bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di Melaka pada sebelah malam Jumaat (16 Sep).

Encik Ismail Sabri berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Dis 2021, bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing, terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

IMBAU SEJARAH PENUBUHAN M'SIA

Dalam ucapannya, Encik Ismail Sabri turut mengimbau kembali sejarah penubuhan Malaysia dengan hasrat penubuhannya disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Abdul Rahman Putra Al-Haj, buat pertama kali ketika Persidangan Wartawan-Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura, pada 27 Mei 1961.

Menyifatkan proses untuk membentuk Malaysia bukan satu yang mudah, beliau berkata segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan kerana ia menagih pengertian serta memerlukan kesabaran para pejuang.

“Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura. Rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa.

“Pun begitu, biar seribu halangan yang merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang-pejuang terdahulu,” katanya.

Perdana Menteri berkata nama-nama seperti Abdul Rahman, Mohammad Fuad Stephens, Mustapha Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Jugah Anak Barieng serta Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh-tokoh yang sudahpun menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia dan pejuang yang mewariskan kemakmuran yang dinikmati kini.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.

“Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.
 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan